Berpijak Di Bumi Yang Nyata

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak mengajak seluruh ahli UMNO untuk berpijak di bumi yang nyata dalam mengharungi cabaran semasa terutama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau mahu ahli parti bermuhasabah diri untuk bangkit daripada zon selesa yang membuatkan semua alpa dan lalai.

"Pucuk pangkalnya, dalam persidangan semustahak ini, kita tidak boleh setakat bercakap perkara manis-manis sahaja. Ahli dan jentera parti hendaklah selalu berwaspada dan berada dalam mode kesiapsiagaan.

"Kerana tidak lama lagi kita akan menempuh satu episod pilihan raya yang tergenting dan berkemuncak cabarannya," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Najib berkata, cabaran itu bakal menentukan nasib Melayu dan Bumiputera, UMNO dan Barisan Nasional (BN), kestabilan serta kedaulatan negara serta masa depan syiar Islam di negara ini.

"Kita berada di celah-celah kekeruhan dan persimpangan pencarian umat Melayu yang ketika ini sedang berpecah kepada pelbagai kumpulan dan fahaman politik dalam menentukan arah kompas perjuangannya.

"Justeru kita patut berasa bersyukur serta bertuah kerana dengan izin Allah, masih lagi kekal berada dalam sebuah jemaah yang kukuh lagi berpadu, yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.. UMNO," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan UMNO adalah satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan Melayu Bumiputera serta rakyat Malaysia.

Malah, katanya, UMNO juga kekal menjadi parti tunjang utama kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Inilah detik penentu rakyat Malaysia keseluruhannya agar tidak tersasar daripada arah kompas hala tuju dengan menilai dengan matang, bukannya emosi apatah lagi terpengaruh dengan dakyah pembangkang di media sosial," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan