Pengunjung #ExpoNegaraku Melebihi Sasaran

Kuala Lumpur - Kehadiran pengunjung ke #ExpoNegaraku melebihi sasaran apabila hampir 600,000 orang hadir sepanjang sebulan berlangsungnya ekspo ini di Dataran Merdeka, iaitu sejak 15 November lalu.

Malah sehingga 3 petang tadi, jumlah pengunjung yang dicatatkan adalah 571, 993 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan, berkata jumlah itu melebihi sasaran awal sebanyak 500,000 pengunjung.

"Saya berbangga untuk menyatakan bahawa, kita mencapai sasaran 500,000 pengunjung pada hari ketiga terakhir ekspo. Ini adalah petanda positif dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus pada hari biasa.

"Malah secara purata, kehadiran adalah 15,000 orang pada hari bekerja dan lebih 40,000 orang pada hujung minggu dan cuti umum.

"Ini tidak termasuk pengunjung yang hadir ke acara sampingan yang diadakan pada setiap hujung minggu yang dianggarkan seramai 50,000 orang," katanya dalam ucapan penutupan #ExpoNegaraku.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri K Devamany.

Program #ExpoNegaraku adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia menampilkan lima kubah yang mempamerkan projek infrastruktur semasa dan masa depan yang dirancang oleh kerajaan demi menyediakan kehidupan.

Malah ia dihasilkan menerusi platform baru yang lebih kreatif dan inovatif bagi memberi pengalaman baharu buat pengunjung merasai sendiri denyut nadi pembangunan negara secara lebih dekat.

Abdul Rahman, berkata beliau berbangga dengan kejayaan penganjuran kerana mendapat maklum balas dan komen positif daripada pengunjung yang berpuas hati dengan pengisian ekspo ini.

Beliau berkata, ada permintaan untuk #ExpoNegaraku ini dilanjutkan dan juga diadakan di tempat lain.

"Ekspo ini diiktiraf bertaraf dunia dan boleh menyaingi ekspo lain di luar negara. Sebab kita mahu meneruskan penganjuran ekspo ini pada masa akan datang.

"Ia hasil komen positif pengunjung yang berpuas hati dengan penganjuran ekspo ini. Ini juga menunjukkan rakyat menghargai misi dan visi yang dilakukan oleh kerajaan,' katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan