DAP Main Politik Keji Berkaitan Kem Tentera

 

Kuala Lumpur - Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong didakwa berniat jahat apabila sengaja manipulasi jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengenai pembinaan kem tentera di Sembrong.

Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Onn Hafiz Ghazi, berkata DAP cuba mengaitkan perancangan keselamatan dengan politik yang disifatkannya sebagai tindakan keji untuk meraih populariti murahan melalui politik kebencian dan keraguan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, kenyataan itu bertujuan mengelirukan dan mengikis kepercayaan rakyat terhadap Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Katanya, jika perancangan pembinaan kem di Sembrong adalah berasaskan motif politik seperti didakwa Chin Tong, sudah pasti Hishammuddin akan memastikan kem tentera berkenaan lengkap dan selesai dibina sebelum PRU-14.

"Namun perkara itu tidak berlaku sama sekali dan kem berkenaan kini masih di peringkat pembinaan dan tidak mungkin siap sebelum PRU-14.

"Segala usaha dan perancangan mengenai pembinaan dan penambahbaikan kem tentera yang sudah dilakukan sekian lama adalah berasaskan keperluan serta kepentingan keselamatan negara di bawah Kementerian Pertahanan," katanya.

Semalam Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor mencabar Hishammuddin untuk menafikan dakwaan bahawa satu kem tentera akan dibina di kawasan Parlimen Sembrong.

Onn Hafiz berkata, Chin Tong boleh mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri jika masih ragu dan mengelakkan prasangka.

Onn Hafiz juga Setiausaha Politik Menteri Pertahanan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan