Tanah FELDA: Siasat Hingga Akar Umbi

Bera - Siasatan hingga ke akar umbi perlu dilakukan terhadap pihak yang terbabit dalam kontroversi hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur termasuk syarikat pemaju hartanah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan juga sepatutnya tidak hanya menjurus kepada tindakan sivil tetapi membabitkan juga tindakan jenayah.

"Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat hingga ke akar umbi kerana jumlah RM270 juta adalah besar. Tanah di Jalan Semarak amat berharga dan tidak boleh sekali-kali dilepaskan.

"Semua pihak perlu disiasat, sama ada FELDA Investment Corporation (FIC) atau pihak lain dalam FELDA. Malah, syarikat yang terbabit juga perlu disiasat kerana kita bimbang ada unsur jenayah dan penipuan berlaku," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Raja Sehari Mega Parlimen Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Zoolihsan Ahmad.

Isu kehilangan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang didedahkan BH turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan tindakan diambil, sekiranya berlaku kecuaian dan salah laku dalam kes berkenaan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, isu kehilangan tanah milik FELDA itu amat mengejutkan dan mendapat reaksi daripada warga peneroka FELDA.

Katanya, perkara seperti itu tidak akan berlaku jika FELDA lebih berhati-hati dalam setiap urusan, khususnya membabitkan kepentingan agensi berkenaan.

Beliau berkata, usaha mesti dilakukan FELDA bagi mendapatkan semula tanah yang amat bernilai itu.

Katanya, tindakan tegas mengikut undang-undang perlu dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah dalam isu itu bagi memberikan pengajaran.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan