Qobin Hampir Tamatkan Separuh Ekspedisi Grand Slam

Putrajaya - Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, hari ini hampir menamatkan separuh misi penjelajahannya ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km).

Qobin, 36, yang kini dalam Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 melalui Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), dijangka akan menghabiskan penjelajahan menggunakan ski sejauh 20 kilometer (km) pada hari keempat ekspedisinya bagi mencapai jarak perjalanan 61.5 km.

Pengarah Media dan Publisiti KE7B, Hazran Mohamed, berkata melalui panggilan telefon satelit kepada urus setia misi berkenaan, Qobin memaklumkan beliau berada dalam keadaan sihat dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan itu.

"Qobin memberitahu, cuaca yang baik tanpa ribut salji dan angin kencang membolehkan beliau berski mencapai jarak yang agak jauh semalam dan hari ini.

"Suhu waktu siang di Kutub Selatan pada musim panas ketika ini adalah negatif 26 darjah Celsius," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hazran berkata, Qobin yang memulakan misi di Titik 89 Darjah berjaya menamatkan penjelajahan sejauh 6.5 km pada hari pertama, Jumaat lalu dan 15 km pada hari kedua serta 22 km pada hari ketiga.

Penjelajahan berkenaan dijangka mengambil masa sembilan hari dan akan berakhir 27 Disember ini.

Jika berjaya kelak, Qobin bakal menjadi rakyat Malaysia pertama, warga Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia, selain 70 manusia dan penjelajah terawal menamatkan misi yang diiktiraf badan eksplorasi sebagai Penjelajah Grand Slam.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan