Qobin Tamatkan Misi Grand Slam

Putrajaya - Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, hari ini menamatkan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km).

Dengan kejayaan itu, beliau akan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia, selain 70 manusia dan penjelajah terawal yang mendapat pengiktirafan itu.

Qobin tiba di titik berkenaan pada jam 4.05 petang waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) selepas menamatkan baki 4km penjelajahannya hari ini dalam Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 melalui Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).

Qobin, yang memulakan penjelajahan berkenaan di Titik 89 Darjah Kutub Selatan pada Jumaat lalu, memaklumkan kejayaannya itu melalui telefon satelit kepada urusetia misi berkenaan di Kuala Lumpur.

Beliau berdepan beberapa kesukaran termasuk jari yang kebas berpanjangan disebabkan cuaca sejuk melampau hingga negatif 26 darjah Celsius.

Qobin akan bermalam di titik berkenaan hari ini sebelum menaiki penerbangan ke Union Glacier esok dan dijangka pulang ke tanah air awal bulan depan.

 

Post Metro Online

Artikel Berkaitan