'Jangan Rosakkan Akidah, Akhlak'

Putrajaya - "Jangan ambil kerja Allah dengan mengkafirkan orang lain".

Penasihat Jabatan Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot, berkata tindakan mengkafirkan orang lain adalah kerja golongan ekstremis yang boleh merosakkan imej Islam.

"Apa yang dibuat itu (kafir mengkafir) hanya akan merosakkan imej syariah, akidah dan akhlak orang IsIam.

"Tindakan ini boleh membawa cacat cela kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya pada sidang media selepas menjadi ahli panel Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kecenderungan pihak tertentu 'mengkafirkan' orang lain hanya kerana gagal mencapai kata sepakat dalam sesuatu isu.

Kelmarin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah menyifatkan kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Nooh yang juga bekas Mufti Johor berkata, pendekatan sederhana wasatiyyah yang diperkenalkan kerajaan adalah cara terbaik menangani golongan ekstremis yang suka mengkafirkan orang lain.

Katanya, wasatiyyah membuka pintu dialog dan keterbukaan, menerima pandangan orang lain dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu atau mengaibkan orang lain.

"Apabila wasatiyyah dijadikan pegangan, kita tidak akan menyalahkan orang lain. Berbincanglah bagi mengelak umat Islam terus sesat, " katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan