Politik Kebencian Bukan Cara BN, UMNO

Pekan - Politik kebencian tidak mencerminkan nilai murni yang baik kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak perlu menggunakan kata-kata kesat, mengutuk, mengeji dan mengumpat serta hanya pandai menabur janji walaupun tahu tidak mampu melaksanakannya.

Sebaliknya, Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO memberi jaminan, kerajaan akan terus mengamalkan politik yang menjaga hak dan kebajikan rakyat di bandar dan luar bandar.

"Kita akan pastikan negara di bawah kepemimpinan BN dan UMNO terus mengotakan janji dengan membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan kepada rakyat.

"Kita akan uruskan negara dengan lebih baik berkaitan keselamatan rakyat, hubungan antara kaum, pembangunan syiar Islam, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pengangkutan awam dan kemudahan prasarana," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada murid miskin sekolah rendah Parlimen Pekan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tabung Haji yang juga Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Seramai 2,000 murid sekolah di Parlimen Pekan menerima bantuan pakaian sekolah daripada Najib yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan