Najib Berpeluang Masuk Kaabah

Kuala Lumpur - Selepas diberi penghormatan memasuki kawasan makam Rasulullah SAW di Madinah semalam, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berpeluang memasuki Kaabah ketika menunaikan umrah di Makkah.

"Allahuakbar, rasa cukup terharu dan bersyukur diberi berpeluang memasuki Kaabah, melihat rumah Allah. Syukur Alhamdulillah," kata Perdana Menteri menerusi entri di laman sosial rasminya hari ini.

Najib turut mengucapkan syukur kerana dapat mengerjakan tawaf bersama keluarganya termasuk isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan ibu, Tun Rahah Mohammad Noah.

"Syukur Allah kurniakan rahmat kesihatan dapat tawaf bersama bonda dan keluarga. Alhamdulillah," katanya.

Perdana Menteri dan rombongan mengerjakan umrah sempena lawatan kerja ke Arab Saudi sejak 8 Januari lalu, atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Lawatan itu bagi membincangkan isu dua hala yang dipersetujui kedua-dua negara ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia, tahun lalu. Najib dan rombongan turut diberi taraf tetamu negara oleh Kerajaan Arab Saudi.

Semalam, menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Najib berkata Raja Salman memberi kebenaran kepada beliau dan keluarga untuk memasuki makam Rasulullah dan melawat Raudhah selepas solat Isyak di Masjid Nabawi di Madinah.

"Kami bersyukur dapat memasuki makam Nabi Muhammad dan diberi penghormatan berbuat demikian kerana ia hanya diberikan kepada tetamu istimewa Kerajaan Arab Saudi dan tidak ramai mendapat peluang itu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan