PM umum dana RM8.5 juta naik taraf Tamu Donggongon

Penampang - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi menaik taraf tapak Tamu Donggongon, di sini.

Dalam ucapan ringkasnya ketika melakukan tinjauan mesra di tamu berkenaan, beliau berkata, usaha menaik taraf Tamu Donggongon membolehkan kawasan itu lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.

Perdana Menteri berkata, walaupun Parlimen Penampang milik pembangkang, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengetepikan kepentingan penduduknya, antaranya menyalurkan peruntukan untuk atasi masalah banjir berjumlah RM280 juta.

"Percayalah sebagai sebuah kerajaan sudah kita melalui keadaan yang begitu stabil dan dapat memacu kemajuan serta pembangunan lebih pesat, malah kerjasama kerajaan Pusat dan negeri di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Musa (Aman) amat akrab sekali.

"Saya berjanji jika diberi mandat semula, apabila hari raya (pilihan raya umum), kita akan bawa lebih banyak kemajuan untuk Sabah.

"Rekod kita jelas terbukti, berbilion ringgit saya lulus untuk Sabah sejak jadi Perdana Menteri, yang jadi Perdana Menteri 22 tahun tak banyak dia buat," katanya sambil melahirkan keyakinan kehadiran ribuan penduduk daerah ini bakal diterjemahkan dengan sokongan terhadap BN.

Terdahulu, Najib tiba di Tamu Donggongon pada jam 4 petang diiring Musa dan disambut pemimpin negeri serta parti komponen BN dan ribuan rakyat.

Beliau meluangkan masa hampir sejam meninjau dan beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung sebelum menikmati jamuan buah-buahan di tapak tamu terbabit.

Antara buah-buahan dinikmati Perdana Menteri ialah durian, manggis, langsat serta tarap, iaitu antara buah eksotik yang popular dan amat diminati penduduk Sabah.

Sementara itu, peniaga, Asila Gomur, 58, teruja apabila Perdana Menteri singgah di gerai jualan miliknya dan membeli dua barang kraftangan.

"Pada mulanya saya ingat beliau hanya mahu lihat barangan jualan saya tetapi tanpa berfikir panjang beliau menghulurkan RM100 untuk membeli anyaman Tekinan dan Tinompok.

"Hari ini pasti kenangan terindah sepanjang hidup kerana bukan sahaja pertama kali bertemu empat mata dengan pemimpin utama negara, malah beliau membeli kraftangan di gerai saya," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan