Jangan Ambil Mudah

Kota Kinabalu - Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) terus bekerja dan jangan berhenti berjuang sehinggalah detik berakhir tempoh mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, pada ketika PRU-14 akan diadakan pada bila-bila masa, setiap pemimpin BN perlu bersedia seolah-olah Parlimen akan dibubarkan pada esok hari.

"Kalau masih ada lagi ruang atau penugasan yang mungkin belum dilakukan sepenuhnya (menghadapi PRU-14), maka saya harap dalam masa yang masih berbaki ini semua pihak bekerja dengan komprehensif, menyeluruh, tertib dan bersungguh-sungguh.

"Dalam masa sama kita mesti melihat bagaimana kerja kita dapat ditingkatkan lagi, salah satu faktor kemenangan ialah kewibawaan jentera kita, pembangkang tak sekuat BN kalau diukur dari segi jentera, kita ada asas kekuatan di setiap bahagian dan Parlimen.

"Apa yang penting asas itu kira cari lagi, kalau kita bergantung pada ahli BN saja, belum cukup jaminan untuk mencapai kejayaan atau kemenangan selesa, kita kena dekati golongan pengundi atas pagar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat Negeri Sabah yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah anggota Kabinet negeri dan Persekutuan serta pemimpin parti komponen BN.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan pemerhatian terhadap pecahan pengundi di Sabah, beliau dapati ada kawasan Parlimen dimenangi BN pada PRU lalu di bawah 1,000 majoriti undi, berbanding antara 6,000 hingga 7,000 pengundi baharu di kawasan terbabit.

"Ini lebih besar daripada majoriti yang kita peroleh, jadi kita kena tahu kecenderungan pengundi ini.. gunakanlah pelbagai saluran misalnya Wanita UMNO ada Jalinan Rakyat (JR) Plus, kenal pasti semua pengundi termasuk mereka yang tak dapat dikesan.

"Saya sebut ini kerana tak mahu kita anggap kemenangan dalam genggaman, jangan ambil mudah," katanya.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat supaya mengukur prestasi masing-masing selama sepenggal berkhidmat sejak 2013 sama ada rakyat berpuas hati atau sebaliknya dan perlu melakukan sesuatu untuk terus menarik sokongan pengundi lama dan baharu.

"Kita (wakil rakyat) mungkin rasa kita sudah buat kerja dengan baik, tetapi yang menilai kita adalah pengundi, kita mesti lihat diri kita sebagai wakil rakyat yang boleh membawa sokongan tambahan, kita tak mahu wakil rakyat yang hanya bergantung pada parti," katanya.

Najib turut memberitahu Musa supaya memastikan BN Sabah menyumbang tidak kurang 22 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-14, serta sekurang-kurangnya 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ini indeks pengukur prestasi (KPI) untuk Tan Sri Musa," katanya sambil yakin BN Sabah mampu meraih kemenangan besar asalkan ahli, pemimpin serta parti komponen bersatu dan komited berjuang dalam satu pasukan.

Katanya, tiada sebab rakyat Sabah menolak BN kerana kerajaan sedia ada telah terbukti dari segi rekod cemerlang, antaranya menstabilkan politik di Sabah, mewujudkan suasana aman dan harmoni, melakukan transformasi pembangunan serta jaminan keselamatan.

"Kalau ada kekurangan, saya sudah beri jaminan kita akan lihat semula Perjanjian Malaysia 1963 kalau kita terambil kuasa dan hak rakyat Sabah, saya sedia pulangkan.

"Kita sebuah kerajaan yang mempunyai perancangan 30 tahun ke hadapan melalui Transformasi Nasional 2050, boleh ke seorang yang berusia 93 tahun menjadi penentu masa depan Malaysia?," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan