Simbolik Persahabatan Dalam Politik

Kuala Lumpur - Kesepakatan dan kerjasama erat antara Puteri UMNO dan parti komponen dianggap ikatan persahabatan yang simbolik tanpa batasan khususnya dalam kalangan wanita muda.

Justeru, slot Bicara Puteri menjadi pembuka program Pelancaran Sahabat Puteri Barisan Nasional (BN) yang dinamakan AZALEA 2018.

Penganalisa politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh, berkata wanita muda mewakili enam juta atau 60 peratus pengundi dalam kalangan golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Peranan mereka bermula sejak penubuhan Puteri UMNO, pada 2000. Banyak program mendekati wanita muda dilakukan bagi menarik lebih ramai golongan ini menceburi politik.

"Malah, peranan itu bukan saja penting tetapi membentuk empat kuasa, antaranya kuasa dalam diri, kepercayaan, memahami perjuangan dan menjadi agenda utama dalam pembentukan dasar kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Slot Bicara Puteri sempena Majlis Pelancaran sahabat Puteri Barisan Nasional AZALEA yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Lima panel Bicara Puteri adalah Ketua Penerangan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah; Ketua Puteri MIC, R Gunasundari; Ketua Puteri MCA, Ivone Low Yi Wen; Ketua Puteri MyPPP Hasliana Landang dan Ketua Puteri KIMMA Malaysia, Rohaini Syed Ibrahim.

Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Nurul Haida Mahamad bertindak sebagai moderator.

Nama AZALEA diambil sempena nama bunga yang bermaksud keanggunan, kelembutan. Ia dianggap pengikat kenangan manis dan kehangatan dalam semangat persahabatan serta kekeluargaan.

Bunga melambangkan keperibadian riang dan semangat juang yang tinggi sebagai simbolik ikatan persahabatan dalam puteri.

Pelancaran itu bertujuan memperlihatkan kesepakatan dan kerjasama erat bukan sahaja di antara Puteri UMNO dan rangkaian parti komponen BN, badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswi dan wanita muda.

Sementara itu, Haryaty berkata, Puteri UMNO menjadi ejen melawan fitnah, penyampai mesej bagi meyakinkan wanita muda BN terbaik.

Yi Wen berkata, objektif beliawanis MCA adalah mempertingkatkan lebih ramai wanita muda dalam politik dan membantu mereka dalam memberikan kefahaman dasar kerajaan

"Saya berharap ini menjadi platform kepada wanita muda kerana penyertaan kaum Cina hanya dua peratus," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan