Berita Palsu Boleh Bunuh Demokrasi Negara

Kota Bahru - Kerajaan perlu lebih tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar berita palsu bagi mengelak perbuatan tidak beretika itu membunuh demokrasi negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada masa sama, pihak yang bertanggungjawab perlu mengkaji undang-undang sedia ada seperti dilakukan negara lain untuk menangani masalah penyebaran berita palsu.

Katanya, gejala penyebaran berita palsu itu dijangka semakin rancak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi meraih undi rakyat selain mereka merasakan Barisan Nasional (BN) berdepan kekangan masa menjawab tuduhan dilemparkan itu.

"Isu itu penyebaran berita palsu bukan saja berlaku di Malaysia, sebaliknya negara Eropah juga mengalami masalah sama. Kita lihat baru-baru ini,

berita berkaitan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dipalsukan dan minggu lalu, berita palsu berkenaan bangunan UMNO Temerloh ditakluki pihak tertentu.

"Banyak lagi berita palsu lain termasuk yang menyasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli keluarganya. Berita ini nampaknya dijadikan modal mereka yang mahu merebut kuasa dengan cara tidak beretika.

"Mereka mempengaruhi rakyat dengan berita tidak betul.... Ada juga berita palsu dengan menakutkan pelabur mengenai kedudukan sebenar ekonomi negara dengan mengatakan Malaysia hampir bankrap semata-mata mahu memancing undi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Bantuan Orghe Parlime Terre (OPT) di kediamannya di Bukit Marak, di sini, hari ini.

Annuar berkata, secara jujurnya tiada apa yang mampu dilakukan parti dari sudut perundangan kerana ia bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Di peringkat parti, kita tiada jalan lain untuk tangani perkara itu melainkan perlu kerja lebih kuat dan setiap berita palsu yang sampai dekat kita, perlu dijawab kurang dari empat jam.

"Kita akan buat pembetulan dan ini bukan perkara mudah kerana saya perlu menghubungi pihak berkenaan untuk menyediakan jawapan, namun kita akan lakukan yang terbaik demi menangkis segala berita palsu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan