'Anda Takkan Terlepas!'

Hutan Melingtang - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran penggiat atau penyebar berita palsu tidak akan terlepas daripada tindakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semakin banyak berita palsu dibuat dan disebarkan khususnya di media sosial ketika tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin menghampiri.

Beliau berkata, tindakan menyalahgunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bertujuan memesongkan pemikiran rakyat supaya membenci pemimpin negara dan kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, ada 'harga' perlu dibayar atas perlakuan itu iaitu tindakan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Sekarang ini tersebar luas berita palsu, berita palsu dipercayai dan berita palsu makin bertambah kerana 'hari besar' (PRU-14) semakin hampir.

"Oleh itu, penggiat berita palsu memulakan tugas untuk mencari dosa kering, membuat berita palsu bagi meracuni pemikiran rakyat," katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan tiga Pusat Internet 1Malaysia serentak iaitu Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, berita palsu turut memperlekehkan pihak berkuasa seperti dilakukan seorang penulis blog yang kini disiasat SKMM berhubung penulisan dalam blognya.

Beliau berkata, blog itu antara lain menggambarkan kononnya polis mengejar sekumpulan warga Bangladesh yang melarikan diri untuk memberi kad pengenalan.

"Ini seolah-olah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dibeli dengan menyerahkan kad pengenalan, ertinya taraf warga negara untuk pekerja asing ini yang akhirnya kononnya difitnah boleh mengundi dalam pilihan raya akan datang.

"Saya cukup benci mereka yang membuat berita palsu ini, terima kasih kepada (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengambil tindakan segera dengan mengarahkan SKMM untuk melakukan siasatan.

"Bila orang itu dicari polis, tahu pula takut, boleh jumpa suaminya saja, dia (penulis blog berkenaan) lari, kalau berani buat salah beranilah ke hadapan kalau itu betul, (tapi) bila siasatan dilakukan bawa peguam dua orang," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembuat dan penyebar berita palsu seronok apabila berita itu menjadi viral namun perlu berdepan tindakan.

"Tunggu harga yang sepatutnya anda bayar kalau berani buat berita palsu. Tunggu tindakan yang akan dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Pusat Internet 1Malaysia termasuk lima yang beroperasi di kawasan Parlimennya antara usaha kerajaan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 851 PP1M beroperasi di seluruh negara dengan 67 daripadanya di Perak.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan