Sarawak Tutup Pintu Untuk Pelampau

Kuching - Kuasa Imigresen akan terus digunakan bagi menghalang individu berfahaman pelampau atau ekstremis dari Semenanjung memasuki Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, beliau akan menggunakan kuasanya untuk melaksanakan undang-undang itu.

"Pihak Imigresen akan meneliti senarai mereka yang dikenal pasti pelampau dan akan memaklumkan larangan masuk kepada individu terbabit," katanya ketika merasmikan Program Aprisiasi Rukun Tetangga 2018, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak Laut, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kuasa Imigresen itu penting bagi menghalang pelampau masuk kerana dikhuatiri akan menyebarkan fahaman yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

"Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini sudah cukup baik, sebab itu kita tidak mahu ia digugat oleh mereka yang berfikiran pelampau.

"Kita dapat lihat apa yang berlaku di Semenanjung apabila muncul seorang dua yang berfahaman pelampau, mencetuskan banyak isu perkauman dan keagamaan, contohnya dalam isu kedai dobi," katanya.

Pada masa yang sama, beliau mahu penduduk negeri ini supaya terus mengukuhkan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan