Annuar Tarik Diri Tanding Presiden FAM

Kuala Lumpur - Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penarikan diri daripada pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 48 jam sebelum detik penentuan Sabtu ini. 

Beliau berkata, keputusan itu adalah penghormatan kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin FAM, sekali gus melakar kecemerlangan dan memacu mutu bola sepak negara. 

Annuar berkata, keputusan mengundur diri itu turut berpunca daripada dakwaan dilemparkan segelintir pihak baru-baru ini, kononnya ada 'tangan ghaib' menggesa perwakilan memberi undi kepadanya. 

"FAM perlu ada barisan EXCO berwibawa, selain dikendalikan dalam suasana yang harmoni dan mendapat sokongan semua pihak tanpa wujud perpecahan di peringkat pengurusan. 

"Oleh itu, selepas berfikir secara mendalam, saya mengambil keputusan memberi penghormatan kepada TMJ supaya diberi kemenangan tanpa bertanding," katanya kepada pemberita di bilik media Parlimen, hari ini. 

Annuar berkata, kertas undi yang memaparkan namanya sebagai calon Presiden FAM sudah dicetak, justeru pengundian tetap berlangsung. 

Bagaimanapun, beliau menyuarakan harapan supaya tiada undian diberikan kepadanya ketika pemilihan jawatan Presiden FAM sempena kongres badan induk itu Sabtu ini. 

"Keputusan yang dibuat sebelum 48 jam daripada tarikh pengundian diharap dapat membantu FAM menyusun persediaan supaya TMJ diumum menang tanpa bertanding. 

"Hasrat untuk menarik diri ini sudah lama disuarakan menerusi mesej kepada TMJ pada 16 November tahun lalu, iaitu saya berjanji akan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada baginda. 

"Keputusan ini dibuat tanpa tekanan mana-mana pihak, justeru hari ini saya kotakan janji dengan memberi penghormatan kepada TMJ," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan