Tindakan Annuar Tepat

Kuala Lumpur - Bekas pemain pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail, memuji tindakan berani Tan Sri Annuar Musa, yang menarik diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Annuar membuat keputusan itu bagi memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menerajui badan induk sukan berkenaan. 

Jamal Nasir berkata, beliau secara peribadi amat menyokong tindakan Annuar menarik diri memandangkan TMJ adalah calon pilihan dan mendapat sokongan majoriti ahli gabungan FAM lain. 

Bagaimanapun Jamal berkata, tindakan Ahli Parlimen Ketereh itu bakal menyebabkan perwakilan tiada pilihan selain memilih TMJ selaku Presiden FAM baharu. 

"Saya memang menyokong tindakan Tan Sri Annuar sudi memberikan penghormatan kepada TMJ untuk memimpin FAM dan membawa sukan bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik pada masa depan. 

"TMJ juga perlu membuktikan keupayaannya dengan melakukan banyak pembaharuan dan transformasi bagi mengubah landskap dan pengurusan sukan bola sepak ke arah memperbaiki mutu dan ranking Skuad Harimau Malaysia sekarang dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya. 

Jamal berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman mengejut dibuat Ahli Parlimen Ketereh itu di Parlimen, sebentar tadi, bahawa beliau menarik diri bagi memberi penghormatan dan laluan kepada TMJ untuk menerajui badan induk berkenaan. 

Sebelum ini, FAM mengumumkan Tunku Ismail dan Annuar kekal sebagai calon merebut jawatan Presiden FAM bagi penggal 2012/2021 pada Kongres Pemilihan FAM ke-53 pada Sabtu ini. 

Jawatan Timbalan Presiden FAM menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Yusoff dengan penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Seri Subahan Kamal.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan