Skandal Rasuah Pemain Bola Sepak Negara?

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Ketua Suruhanjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berhubung dengan gejala rasuah - tiada individu yang akan terlepas dari 'mata' SPRM.

Tidak ada siapa yang mampu sembunyikan diri dari radar SPRM. Penjawat awam tanpa mengira pangkat, figura korporat, ahli politik, malah yang berpangkat 'Datuk' dan juga 'Tan Sri' telah mula diheret kemuka pengadilan. 

Dan kini pemain bola sepak tidak terkecuali dan ianya bukan satu golongan yang baru dipantau kerana pemain bola sepak yang mewakili negeri pernah ditangkap dan didakwa suatu waktu dahulu dan terus menjadi perhatian SPRM.

Beberapa pemain bola sepak tanah air berada dalam radar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

"Saya akui ada nama tertentu dan sekiranya kami dapat keterangan (bukti), kami akan ambil tindakan. Ini amaran kepada kamu semua (pemain) lebih baik berhenti.

"Terdapat sesetengah orang (pemain) mungkin SPRM tidak boleh kesan, tetapi sekali kita tahu, kita akan menyiasat dan implikasinya selepas itu ialah kamu boleh dilarang (bermain) seumur hidup. 

"Ia tidak berbaloi kepada pemain atau persatuan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bersama SPRM oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di Ipoh semalam.

Di majlis itu seramai 380 orang pemain bola sepak dan pegawai di bawah PAFA berikrar untuk bebas daripada rasuah.

Mengulas lanjut, Azam berkata berdasarkan risikan, satu sebab gejala rasuah berlaku dalam arena bola sepak adalah kerana mendapat desakan daripada 'bookie'.

"Bookie ini akan cuba mendekati dengan pelbagai cara. Oleh sebab itu pemain harus menjauhkan diripada dari aktiviti yang tidak berkaitan," katanya sambil meminta pegawai atau pemain yang didekati oleh bookie supaya melaporkan kepada SPRM.

Dalam pada itu, beliau memuji ketulusan PAFA membuat ikrar dan memberikan kerjasama dengan membenarkan persatuan dipantau oleh SPRM sekali gus meningkatkan kecemerlangan dan integriti pemain serta pasukan.

Sementara itu, Presiden PAFA Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata perkara itu dilakukan bukan untuk menakutkan mana-mana pihak sebaliknya menyatakan pendirian bahawa PAFA bebas daripada amalan rasuah.

"Kita mahu pastikan kita ini bersih daripada amalan-amalan itu supaya pemain dan pegawai dapat menunjukkan integriti tinggi sebab penonton mengharapkan permainan yang bersih.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini bila terdapat isu integriti menyebabkan penyokong tak berminat nak datang ke stadium, jadi itu yang kita nak hapuskan," katanya.

Syabas SPRM, rakyat ingin melihat perkembangan positif dan berani ini kekal momentumnya sampai bila-bila sehingga Malaysia ini bersih dan menjadi Negara bebas rasuah.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan