Pengadil rasuah akan digantung seumur hidup

Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pengadil yang didapati terlibat dengan rasuah akan digantung seumur hidup dan beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Integriti dan Persatuan Pengadil menyiasat pe­ngadil dan sistem pengadilan yang lemah.

Katanya, siasatan terperinci perlu dilakukan sepenuhnya dan keputusannya perlu diambil ming­gu ini.

“Jika jelas individu terbabit gagal mengadili perlawanan dengan baik, hukuman akan dikenakan dan pe­ngadil tersebut harus direhatkan.

“Saya ingin memaklumkan jika perkara ini didapati sabit kesalahan kerana unsur ra­suah, pengadil tersebut harus digantung seumur hidup. Saya juga telah memberi semua nama dan butiran pengadil bersama semua ahli yang bertugas dalam FAM kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) supaya pihak berkuasa boleh memantau dan memastikan tiada korupsi di dalam FAM,” katanya menerusi akaun Facebook FAM hari ini.

Tunku Ismail, yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) juga menolak ‘prasangka’ sebilangan peminat bahawa pasukan itu menerima layanan istimewa.

Katanya, JDT telah memena­ngi banyak piala sebelum beliau menduduki kerusi No. 1 badan induk tersebut.

“Saya menjadi Presiden untuk membantu pasukan kebangsaan, meningkatkan mutu liga tempatan, memastikan bola tidak digunakan untuk agenda politik dan memusnahkan korupsi dalam bola sepak.

“Perak mendapat penalti di saat akhir perlawanan ketika menentang T-Team, adakah silap saya? JDT dapat penalti, adakah salah saya? Sebab saya Presiden dan saya orang Johor? Selangor mendapat penalti ketika menentang Pahang, adakah salah saya juga?,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail memberi peringatan kepada sesetengah media supaya tidak menulis perkara negatif dan memutarbelitkan kenyataan yang dikeluarkannya.

“Kepada ‘sesetengah’ media yang saya hormati sekalian di mana suka menulis perkara negatif, gemar memutarbelitkan kenyataan saya, pihak media yang mempunyai hubungan rapat dengan Tan Sri dan menteri-menteri penuh ‘integriti’. Saya janji saya akan cuba menjaga anda semua sama seperti orang politik menjaga anda selama ini.

“Bagi duit sedikit, bercuti di luar negara, memberi tiket menyaksikan Piala Dunia, memberi barang-barang percuma dan belanja makan. Cuma satu sahaja yang saya tidak boleh berikan dan dari awal lagi saya ingin mengesahkannya iaitu saya tidak boleh beri awak gelaran Datuk. Itu sahaja,” katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan