PAS Tolak Mahfuz

Kota Bharu - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak akan dicalonkan bagi mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata selain Mahfuz, pemimpin lain yang secara terbuka menentang parti itu turut tidak akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya.

Katanya, PAS tidak akan meletakkan calon yang menyimpang daripada parti itu dalam PRU14 terutama pemimpin yang cenderung menyokong pakatan pembangkang.

"Mereka yang menentang parti secara terbuka ini tidak akan dicalonkan lagi. Apa-apa pun ia pendirian parti dan kita secara terbuka tidak meletakkan mana-mana pemimpin yang cenderung kepada pakatan pembangkang atau mana-mana parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mahfuz dan tiga lagi pemimpin PAS dilaporkan hadir dalam Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (PAN) di Alor Setar, Kedah, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Amar berkata pihaknya akan menggantikan Mahfuz dengan calon yang lebih baik di Pokok Sena.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata PAS tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mahfuz kerana isunya terlalu kecil.

"Mahfuz ini bagi kita terlalu kecil. Satu lagi dah dekat dengan pilihan raya. Buang masa saja," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan