Saham Akhirat Rosyam Nor

Kuala Lumpur - Menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 pada 1 Mac lalu, pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor berazam memperbaiki diri dan berusaha menjadi umat Islam yang lebih baik sebagai persiapan menemui Maha Pencipta. 

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata, selepas lima tahun mendalami al-Quran, beliau berhasrat menambahkan lagi pengetahuan dan pemahamannya terhadap kitab suci itu dengan berkongsi ilmu bersama masyarakat. 

"Matlamat saya pada usia ini hanya ingin membuat persediaan untuk menempuh alam seterusnya. Sebelum menutup mata, saya ingin berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan masyarakat menerusi pengalaman yang saya lalui. 

"Sebagai contoh, saya baru menerbitkan buku Rosyam Nor: Impian Jutawan Budak Setinggan sebagai sumber inspirasi kepada golongan muda. Saya juga mahu berkongsi ilmu agama yang saya pelajari dan memanfaatkan pengetahuan itu dengan semua. 

"Alhamdulillah, selepas lima tahun, saya buat kali pertama khatam al-Quran hasil bimbingan seorang guru, malah sudah boleh mengajar isteri, anak dan cucu membaca kitab suci itu," katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod, Chor & Chah, baru-baru ini. 

Drama terbitan kerjasama antara Suhan Movies dan SME Corp Malaysia itu turut menampilkan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz. Ia akan disiarkan menerusi laman YouTube, Facebook, Twitter dan Instagram. 

Mengulas lanjut, Rosyam berkata, beliau juga sedang berusaha memahami maksud setiap ayat suci dengan tunjuk ajar Ustaz Nasa, yang mempunyai program pembelajaran bahasa Arab di TV Al-Hijrah. 

Rosyam berharap, dapat menguasainya dalam masa dua bulan. 

"Insya-Allah, apabila sudah memahami, saya ingin menguar-uarkan kepada masyarakat supaya turut bersama mendalami maksud al-Quran. 

"Saya juga mahu menjayakan kempen seperti World Quran Hour yang menerima sambutan menggalakkan sehingga menjadi 'trending di laman Google pada tahun lalu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan