Ayda Jebat Belum Sedia Ceburi Perniagaan

Kuala Lumpur -  Ketika segelintir selebriti memilih untuk menceburi dunia perniagaan dengan memperkenalkan produk jenama sendiri, Ayda Jebat bagaimanapun, enggan terikut-ikut dengan trend itu. 

Bagi Ayda, belum masanya untuk berbuat demikian malah pelakon yang mula meledak menerusi drama Rindu Awak 200% itu lebih selesa menjual bakat seninya. 

"Secara jujur, saya tidak punya banyak masa untuk menjalankan perniagaan sendiri. Apa yang saya mampu lakukan, hanya 'menjual' bakat lakonan dan nyanyian. Saya bimbang tidak mampu memberi fokus apabila melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. 

"Jadi, biarlah saya fokus dengan apa yang saya minat dulu. Saya tidak mahu sekadar mengikut trend kerana setiap cabang yang diceburi memerlukan komitmen. Cuma ketika ini, fokus saya hanya terarah kepada mengembangkan lagi kerjaya seni," katanya. 

Ditemui pada majlis pelancaran drama portal pertama Astro Gempak berjudul 3 Gadis Manis, Ayda berkata, ketika ini, perkara itu juga tidak pernah difikirkan secara serius kerana komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap lakonan dan nyanyian. 

"Saya belum terfikir lagi untuk memulakan perniagaan, malah tidak pernah merancang kerana saya mahu terlebih dahulu mencari kepuasan dalam bidang seni ," kata penyanyi lagu Pencuri Hati itu. 

Beralih kepada 3 Gadis Manis yang menyaksikan gandingan sulung Ayda dengan Mira Filzah, drama itu turut dibintangi Cristina Suzanne, Nor Syuhaida Abdul Razak atau Dottie dan Alvin Chong. 

"Drama ini hanya mengambil masa tiga hari penggambaran. Setiap episod pula akan disiarkan selama enam hingga tujuh minit dan agak santai. Biarpun masa untuk penggambaran terbatas, tetapi saya seronok sepanjang di lokasi. 

"Apabila kita gembira di set penggambaran, segala penat lelah sudah tidak difikirkan lagi," katanya yang kini melunaskan baki penggambaran drama Ku Kirim Cinta yang akan bersiaran menerusi slot Akasia pada Ramadan depan di TV3. 

Drama 3 Gadis Manis boleh ditonton menerusi www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac ini

Post Metro Online

Artikel Berkaitan