Aiman Bakal Terima Kereta Audi RM1j

Kuala Lumpur - Penyanyi, Aiman Tino, 19, bakal menerima kereta Audi R8 berharga kira-kira RM1 juta sebagai pembakar semangat daripada syarikat Wonder Glow di atas kerjasama strategik mereka menghasilkan produk kecantikan untuk remaja, Sweet Aiman. 

Pemberian kenderaan mewah terbabit dianggap sebagai jentera pemangkin untuk bergerak ke seluruh negara bagi mempromosi dan memperkasakan jenama barangannya sendiri. 

"Sudah tentu saya teruja. Pada masa sama terharu dengan kepercayaan pengurusan Wonder Glow yang menaruh keyakinan tinggi terhadap nama Aiman hingga sedia menyerahkan Audi R8 sebagai tanda usaha sama ini," katanya selepas pelancaran Aiman Sweet, di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, pihak pengurusan syarikat menyediakan khidmat pemandu buat sementara waktu hingga penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu mengambil lesen penuh dalam masa terdekat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Wonder Glow, Datuk Ryzal Jamaludin, berkata Aiman dan syarikat pengurusan penyanyi muda itu tidak mengetahui mengenai pemberian kenderaan berkenaan. 

"Ketika memeterai perjanjian awal, memang tiada disebut pun soal kenderaan mewah. Sebagai mentornya, saya nampak kesungguhan Aiman dan beliau juga dilihat sebagai ikon remaja. 

"Penggunaan kenderaan ini secara tidak langsung menyuntik semangat anak muda lain untuk bergiat cergas dalam perniagaan. 

"Sebenarnya, sejak syarikat pengeluar barangan kecantikan dan kesihatan ini beroperasi, kira-kira enam tahun lalu, kami pernah menyerahkan beberapa kenderaan mewah lain kepada jutawan kami, termasuk Lamborghini," katanya. 

Mengulas mengenai produk diusahakan mereka, akui Ryzal, pembabitan penyanyi remaja, yang menjadi sensasi di YouTube apabila video muzik Ku Rela Dibenci dendangannya mencecah lebih 32 juta tontonan, itu menjurus kepada pengendalian keseluruhan proses pemasaran dan promosi, manakala pihaknya hanya memantau serta memberikan panduan andai diperlukan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan