Elizabeth Tan Urus Kerjaya Sendiri Mulai Esok

Petaling Jaya - Penyanyi Elizabeth Tan, 23, mengambil keputusan untuk bergerak sendiri selepas kontraknya bersama syarikat pengurusan, Paranormal Talents, tamat esok. 

Bintang yang terkenal dengan lagu Knock Knock dan Setia itu juga enggan mencari syarikat lain bagi mengendalikan kerjayanya, sebaliknya beliau mahu menguruskan sendiri karier seninya dengan bantuan pengurus peribadi. 

"Mulai esok saya akan bergerak sendiri. 

Sudah tiga tahun saya berada bawah syarikat pengurusan terbabit, jadi kali ini saya memilih untuk bergerak sendiri, dengan bantuan pengurus peribadi. 

"Saya rasa dengan cara ini saya boleh memilih tawaran yang datang dan akan lebih bebas. Bukannya saya terlalu terikat dengan syarikat pengurusan sebelum ini, namun saya percaya, dalam mana-mana syarikat pengurusan pasti ada isunya tersendiri. 

"Jadi, dengan bergerak secara sendiri, saya berasakan ia akan memberi lebih ruang untuk saya meneroka peluang yang ada, selain mengurangkan isu yang mungkin menjelma," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Mulai esok juga, kata Elizabeth, kontraknya bersama label Faizal Tahir akan tamat. 

"Memang dalam tempoh tiga tahun ini, Faizal yang menulis lagu untuk saya sehingga nama saya dikenali dalam industri muzik. 

Begitupun dari segi kerjasama, kita tidak banyak berbuat demikian. 

Saya sekadar menyanyikan lagu ciptaan beliau," katanya yang bakal tampil dengan lagu baharu, April depan. 

Enggan mendedahkan dulu judul single baharu berkenaan, Elizabeth berkata, muzik yang diketengahkan kali ini lebih kepada genre pop dan rock, hasil ciptaan vokalis sebuah kumpulan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan