Banderas Henti Merokok Sejak Pulih Serangan Jantung

Madrid - Bintang filem Sepanyol, Antonio Banderas berkata dia sudah berhenti merokok sejak serangan jantung Januari lalu dan kini akan memperlahankan kariernya. 

"Andainya ada apa-apa manfaat daripada ini semua, ia adalah saya berhenti merokok serta-merta tanpa memerlukan pil atau apa-apa sepertinya. Ia sudah berakhir," kata pelakon yang membawa watak legenda Zorro dalam filem The Mask Of Zorro, ketika temu bual dengan akhbar harian Sepanyol, Diario Sur di kediamannya di selatan bandar Malaga. 

"Saya akan terus bekerja tetapi akan melakukannya pada rentak berbeza. Saya tidak lagi tergesa-gesa dengan produksi dan paling utama, melakukan anjakan yang sudah lama saya inginkan dan duduk di belakang kamera, tulis skrip saya," katanya. 

Pelakon watak homoseksual dalam filem Philadelphia ini memberitahu pada pesta filem di Malaga bulan lalu, beliau menjalani prosedur pemasangan tiga 'stent' pada arteri dan kini sudah pulih sepenuhnya tanpa sebarang kerosakan pada jantung. 

Banderas yang kini bercinta dengan Nicole Kimpel, 36, penasihat pelaburan dari Belanda berkata, bekas isterinya, aktres Melanie Griffith, 59, menelefonnya hampir setiap hari ketika beliau sakit. 

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dan Nicole juga sukakan dia. Kami bertiga pernah makan malam bersama," katanya kepada Diario Sur. 

Banderas dan Griffith pernah dicalonkan bagi anugerah Oscar untuk filem Working Girl pada 1988 dan tiga tahun lalu mengumumkan mereka bersetuju bercerai 'dalam suasana mesra dan kasih sayang.' 

Ia adalah perceraian kedua bagi Banderas, yang sebelumnya berkahwin dengan aktres Sepanyol, Ana Leza selama lapan tahun, kemudian bercerai pada 1996, tahun yang sama beliau mengahwini Griffith. - AFP

Post Metro Online

Artikel Berkaitan