Beto Ingat Pesan Yasmin, Usah Kejar Anugerah

Kuala Lumpur - Kata-kata hikmat yang ditinggalkan Allahyarham Yasmin Ahmad masih segar di ingatan Beto Kusyairy supaya tidak bekerja demi mengejar anugerah. 

Penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Pesta Perdana, yang diadakan di Singapura pada Sabtu lalu itu berpegang kepada pesanan pengarah terbabit yang berbunyi 'Do not work for an award'. 

"Tidak pernah terlintas mahu mengharapkan kemenangan atau hadir dengan semangat ingin bertanding kerana sedari dulu saya sudah mendidik diri supaya tidak bekerja kerana anugerah. Bak kata arwah Yasmin Ahmad, 'do not work for an award'. 

"Saya sangat berbesar hati apabila diterima dan dihargai dengan pengiktirafan sebegitu. Sejujurnya, saya hadir atas rasa hormat. Lebih utama majlis sebegini adalah untuk meraikan semua penggiat seni. 

"Termasuk mereka yang tidak dicalonkan atau mereka yang terbabit secara tidak langsung dalam dunia penerbitan televisyen di Singapura, khasnya saluran Suria,". 

Beto merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Ustaz Shahrul dalam Kisah Tok Kadi yang dianggap mempunyai kekuatan daripada dialog bersahaja serta lebih bersifat realism. 

"Kisah ini berkisar mengenai seorang naib kadi muda yang selalu menikahkan pasangan, namun beliau sendiri masih belum berkahwin serta tinggal dengan ibunya. 

"Dia cukup serius pada majlis ijab dan qabul berlangsung dengan khutbah nikah yang santai, namun menjentik masyarakat. Naib kadi muda ini juga ditonjolkan bersifat manja di rumah. Dilema mencari pasangan hidup juga menjadi pemangkin terhadap pengkisahan. 

"Jadi sebagai seorang ustaz, naib kadi, anak tunggal kepada seorang ibu tunggal dan masih bujang, ada pelbagai warna dalam kisah hidupnya. Mungkin itu kekuatan watak berkenaan," katanya lagi. 

Menerusi majlis anugerah sama, drama komedi Kisah Tok Kadi itu turut membawa pulang trofi kemenangan termasuk kategori Program Paling Popular. 

Anugerah tahunan Pesta Perdana 2017 dianjurkan Suria di bawah Mediacorp TV Singapura yang memberikan penghargaan kepada rancangan terbitan saluran televisyen berbahasa Melayu di negara itu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan