Bakat Atau Jumlah Pengikut Laman Sosial Lebih Utama?

Kuala Lumpur - Pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly, percaya bakat seseorang pelakon tetap menjadi nadi kekuatan kepada sesebuah produksi dalam menghasilkan drama yang bagus. 

Begitupun, produser kental daripada syarikat JS Pictures ini tidak menolak faktor jumlah pengikut seseorang artis di laman sosial turut membantu melariskan sesebuah produk. 

Yakin bakat atau kualiti yang ada pada seseorang pelakon mengatasi segala-galanya, namun beliau juga mengakui populariti di media sosial menjadi bonus buat golongan terbabit. 

"Kalau artis ada ramai pengikut di laman sosial, ia membantu untuk dirinya melobi dan mempromosikan produk lakonannya. Bagaimanapun, saya yakin dan optimis, kualiti tetap menjadi nadi kekuatan utama sesebuah produk. 

"Kalau jalan cerita sesebuah naskhah itu tidak mempunyai fokus pun, ia tidak ke mana juga, sekalipun mempertaruhkan pelakon yang bagus. 

"Saya sendiri berjaya melakukan eksperimen apabila mempertaruhkan pelakon yang tidak mempunyai jutaan pengikut di laman sosial menerusi drama Misteri Wan Peah, siaran TV3, baru-baru ini. 

"Alhamdulillah percaturan itu menjadi sekalipun saya meletak bakat yang tidak ada ramai pengikut di laman sosial dan belum popular, seperti Zee, Acap dan Faiz, selaku teraju utama," katanya. 

Sheila berkata, beliau yakin ketiga-tiga bintang muda yang ditampilkan olehnya menerusi karya berkenaan masih mempunyai keupayaan yang belum pun dicungkil sepenuhnya. 

"Mereka bertiga pernah menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang di TV3 dan sekalipun tidak bergelar juara, saya percaya ketiga mereka ada bakat yang boleh dicungkil lagi. 

"Peluang itu harus diberi kepada mereka. Kenapa kita nak biarkan bakat dan kualiti yang ada itu dibiarkan begitu saja?" kata Sheila yang akan kembali mengacarakan program masakan, Ketuk Ketuk Ramadan musim terbaru, tidak lama lagi. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sesetengah produksi dan stesen penyiaran yang dikatakan memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial berbanding bakat. 

Senario berkenaan menarik perhatian beberapa pelakon berpengalaman termasuk Zahiril Adzim, yang meluahkan kekecewaan apabila ada syarikat penerbitan mementingkan jumlah pengikut di laman sosial seseorang artis berbanding kualiti lakonan dimiliki. 

Sementara itu, pemilik Zeel Productions, Fadzil Teh, percaya perlu ada keseimbangan berhubung perkara itu dan ia juga bergantung kepada genre drama atau slot tayangannya. 

"Soal ramai pengikut atau tidak, ia bersifat subjektif. Bukan semua pelakon yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial tiada bakat langsung. Ada juga yang memiliki bakat besar dan pada masa sama sangat membantu dari segi promosi. 

"Apa saja yang mereka tulis di laman sosial, dalam soal mempromosikan cerita lakonan masing-masing, ia membantu dari segi rating. 

Artis terbabit boleh menarik peminat untuk menonton naskhah lakonan mereka. "Pada masa sama, kita tengok juga pada slot yang menyiarkan drama terbabit. Kalau drama komedi santai siaran waktu petang, kita ambil pelakon yang bukan terlalu berseni. Kalau yang menuntut karakter berat pula, pastinya kita ambil pelakon yang benar-benar boleh berlakon," ujarnya. 

Justeru, kata penerbit popular itu, bukan semua pelakon yang ditawarkan peluang kerja bersandarkan populariti di laman sosial semata-mata, malah bintang lama dan benar-benar terbukti kehebatan lakonan mereka tetap tidak dilupakan. 

Fadzil, baru-baru ini, umpamanya kembali menawarkan tawaran berlakon kepada bintang berpengalaman seperti Noorkumalasari dan Fauziah Ahmad Daud untuk drama terbitannya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan