'Subsidi Sehingga RM120,000 Untuk Rumah PPR'

Machang - Kerajaan Pusat menanggung subsidi antara RM80,000 hingga RM120,000 bagi setiap rumah membabitkan lapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, lapan projek itu termasuk 1,000 unit PPR Kota Bharu dan 418 unit PPR Machang yang dalam pembinaan.

Beliau berkata, usaha ini menunjukkan kerajaan sedia ada melakukan projek yang menyentuhi hati dan perasaan rakyat.

"Kita menanggung subsidi antara RM80,000 hingga RM120,000 bagi setiap rumah, bergantung kepada kontraktor dan kos tanah.

"Hari ini, saya melancarkan 418 unit PPR di Batu 25 di Machang membabitkan keluasan 16 hektar dengan nilai RM75 juta dan akan disiapkan pada awal 2019 nanti.

"Rumah PPR ini yang dijual pada harga RM35,000 kepada pembeli berpendapatan RM3,000 sebulan dan tidak mempunyai rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program PM Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan