Lawan Kempen Antiminyak Sawit

Kuala Lumpur - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan tidak akan bertoleransi dengan kempen memburukkan industri minyak sawit yang dicetuskan oleh pihak antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memastikan satu tindak balas yang sewajarnya dilaksanakan bagi pihak pemegang taruh dalam industri sawit negara, khususnya 650,000 pekebun kecil tempatan.

Katanya, industri minyak sawit negara ketika ini berdepan cabaran daripada pelbagai kecaman, khususnya Kesatuan Eropah (EU) yang melancarkan kempen 'Tiada Minyak Sawit' bagi mengetepikan industri itu secara sistematik.

"Kita tidak boleh berdiam diri lagi. Kita mesti bertindak balas terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit.

"Kita mesti bertindak balas secara rasional menerusi fakta dan statistik berhubung isu pembasmian hutan dan pemusnahan hidupan liar (yang dibangkitkan kempen antiminyak sawit).

"Malaysia juga perlu terus bergerak ke depan dengan mengadaptasi pensijilan mapan serta amalan pertanian terbaik, selain menjenamakan minyak sawit dengan cemerlang kerana ia adalah minyak yang serba guna dan berkhasiat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kepemimpinan Industri Minyak Sawit (PILA) 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron, diumumkan sebagai penerima PILA. Anugerah disampaikan oleh Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Seumur Hidup Industri Sawit (LEAP) kepada Ketua Pegawai Operasi (Sektor Perladangan) Felda Globel Ventures Holdings (FGV), S Palaniappan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia adalah pemain penting dalam industri minyak sawit global dengan menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit serta jumlah nilai eksport kira-kira RM70 bilion tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, industri minyak sawit negara perlu bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat dan berada di hadapan dengan menerokai teknologi baharu untuk menambah nilai kepada industri berkenaan.

"Sebagai contoh, terdapat keperluan segera untuk mengaplikasi mekanisasi, pertanian berketepatan dan automasi dalam sektor huluan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

"Pertambahan dalam produktiviti juga akan membawa peningkatan dalam pulangan.

"Kerajaan juga menyediakan dana serta insentif untuk menggalakkan penjenteraan dan automasi, selain terus mencari pendekatan baharu bagi membantu peladang dan komoditi untuk mendapatkan harga dan akses pasaran dunia yang lebih baik," katanya.

Ahmad Zahid berkata, industri minyak sawit negara perlu mengadaptasi teknologi maklumat dalam penghasilan produk lestari, sekali gus menghentikan kritikan terhadap minyak sawit.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meningkatkan usaha penyelidikannya dengan memfokuskan terhadap penyelidikan berasaskan komersial agar membawa lebih nilai kepada industri minyak sawit.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan