Pengurusan Ekonomi BN Cemerlang

Kuala Lumpur - Laporan terkini Jabatan Perangkaan membuktikan pengurusan ekonomi yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan yang cemerlang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata, pencapaian itu secara tidak langsung menafikan dakwaan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak memberangsangkan dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Katanya, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 menunjukkan pendapatan isi rumah meningkat berbanding statistik yang dicatatkan dua tahun lalu manakala kadar kemiskinan semakin menurun dan jurang pendapatan kini mengecil.


Beliau berkata, laporan itu juga menyatakan pendapatan isi rumah kumpulan sederhana meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu pertumbuhan pada kadar 6.6 peratus setahun dengan nilai nominal.

"Pendapatan isi rumah bulanan kumpulan sederhana juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus. Bermakna pendapatan isi rumah di negara ini berkembang lebih pantas daripada kadar inflasi pada kadar 2.1 peratus sepanjang dua tahun lalu.

"Ini juga membuktikan dakwaan bahawa pendapatan di Malaysia tidak meningkat atau kenaikan pendapatan di Malaysia tidak naik seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak benar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Rahman berkata, kadar penurunan kemiskinan yang dicatatkan juga bertambah baik daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016.

Katanya, Program Transformasi Ekonomi hasil idea Datuk Seri Najib Razak yang dilaksanakan pada 2010 membuahkan hasil apabila lebih ramai isi rumah di Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pada tahun 2009 jumlah kemiskinan ialah pada kadar 3.8 peratus.

Beliau menjelaskan kadar kemiskinan di semua negeri juga menunjukkan penurunan dengan Sabah mencatatkan penurunan paling ketara daripada empat peratus pada 2014 kepada 2.9 pada tahun 2016.

"Ini membuktikan bahawa komitmen dan usaha serta hubungan rapat Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Musa Aman dan Kerajaan Persekutuan memberikan banyak manfaat dan hasil yang positif kepada rakyat Sabah.

"Sesetengah pihak sering membangkitkan isu kadar kemiskinan Sabah sebagai yang tertinggi di Malaysia malah mereka menuding jari menyalahkan kerajaan. Jika mereka membuat kajian yang mendalam mengenai struktur ekonomi Sabah, mereka akan faham kenapa kadar kemiskinan di Sabah menjadi yang tertinggi berbanding negeri lain.

"Ini disebabkan sektor pertanian di Sabah hanya mencatatkan pendapatan sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan ekonomi negeri itu yang tertinggi di dalam Malaysia manakala sektor pembuatan hanya menyumbang 8.3 peratus daripada ekonomi Sabah jauh lebih rendah berbanding negeri lain

"Sektor perlombongan pula terutamanya minyak dan gas, tidaklah sebesar yang disangka kebanyakan orang. Saiz sektor perlombongan di Sabah hanyalah 62 peratus berbanding saiz sektor yang sama di Sarawak," katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu berlaku kerana Sabah hampir diabaikan dari segi pembangunan infrastruktur oleh Perdana Menteri sebelum ini yang berkuasa lebih dua dekad.

"Hanya beberapa tahun kebelakangan ini di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sekarang Sabah mula mendapat perhatian dari segi pembangunan infrastruktur kerana beliau (Najib) melihat kepentingan membangunkan Sabah," katanya.

Sementara itu, penurunan Pekali Gini kepada 0.399 daripada 0.401 (2014) menunjukkan bahawa jurang pendapatan di antara isi rumah di Malaysia berkurang secara progresif dengan kumpulan berpendapatan sederhana B40 meningkat daripada RM2,629 (2014) kepada RM3,000 (2016) dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.6 peratus setahun lebih pantas daripada isi rumah T20 dengan kadar pertumbuhan 6.2 peratus.

"Isi rumah kumpulan M40 pula mencatatkan pertumbuhan pendapatan terpantas, iaitu 6.9 peratus setahun," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan