Terowong Dasar Laut: Tiada Keperluan Segerakan Kajian Kebolehlaksanaan

Georgetown - Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui gagal menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada Kementerian Kerja Raya dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek terbabit masih lambat, iaitu pada tahun 2023.

Pengerusi Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, berkata tumpuan utama kini adalah kajian kebolehlaksanaan projek jalan utama, berbanding terowong dasar laut.

Katanya, pihaknya hanya akan memberi tumpuan untuk menyiapkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut selepas pembinaan jalan utama terbabit dimulakan, selain tiada tarikh tetap dinyatakan untuk menyerahkan laporan itu kepada Kementerian Kerja Raya.

"Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dimulakan pada Februari 2015 dengan perkembangannya kini sudah mencapai perkembangan 92.9 peratus, selain kajian terbabit tidak perlu segera disiapkan.

"Kita juga tidak ada kelewatan dalam menyiapkan laporan ini.

"Kita tidak mahu membazirkan usaha dan sumber untuk melakukan kajian yang tidak mempunyai keperluan mendesak. Fokus kami hanya untuk menyiapkan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) bagi projek dua jalan utama sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof berhubung kegagalan kerajaan negeri menyerahkan laporan kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut, pada sidang media di sini, hari ini.

Kelmarin, Fadhilah menegaskan kerajaan negeri masih belum menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan jambatan ketiga atau projek terowong dasar laut di negeri itu, seperti dijanjikan kepada Kementerian Kerja Raya, sejak 18 bulan lalu.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dilaporkan berjanji menyerahkan laporan kajian terbabit, selepas menulis surat kepadanya, bagi menggantikan projek terowong dasar laut kepada jambatan ketiga, pada April tahun lalu.

Sementara itu, EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Awam negeri, Lim Hock Seng berkata, cadangan menyerahkan laporan kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu hanya dikemukakan apabila terdapat idea untuk menggantikannya kepada pembinaan jambatan ketiga.

"Ketika itu, Guan Eng tanya sama ada Kerajaan Persekutuan boleh beri kelulusan dasar untuk membina jambatan ini, dan jika ia dibenarkan baru kita akan serahkan laporan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, jika tiada kelulusan dasar diberikan bagi pembinaan jambatan ketiga, maka sia-sialah usaha kami untuk jalankan kajian kebolehlaksanaan bagi projek terbabit," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan