Isu Bugis: Mahathir Kebudak-Budakan

Kuala Lumpur - Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel Bugis sebagai lanun sehingga menyinggung perasaan masyarakat Bugis di negara ini disifatkan sebagai kebudak-budakan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang negarawan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau terkejut dan tidak pernah terfikir kenyataan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata serangan daripada musuh politik adalah perkara biasa tetapi tidak seharusnya serangan itu menjurus kepada asal usul dan keturunan seseorang hingga mengaitkan individu terbabit dengan lanun.

"Saya tidak pernah terfikir perkara seperti ini keluar dari mulut orang seperti Dr Mahathir yang mengaitkan Bugis dengan lanun.

"Sultan Johor dan Sultan Selangor juga berasal dari keturunan Bugis. Masyarakat Bugis adalah pelaut yang berani menentang penjajahan hingga digelar lanun oleh Belanda sedangkan mereka adalah pejuang.

"Sama juga apabila Inggeris melabelkan Mat Kilau dan Datuk Bahaman sebagai pengganas sedangkan mereka adalah pejuang kemerdekaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan DesaMall@Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Dr Mahathir pada himpunan pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya, minggu lalu yang menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke tempat asalnya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan