'Keputusan Sukar Tidak Popular Tapi Perlu'

Kuala Lumpur - Malaysia tidak akan menambat ringgit dan melaksanakan semula kawalan modal di tengah-tengah ketidakstabilan ekonomi global, kata Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun ia mudah untuk dilakukan, Perdana Menteri berkata, suasana Malaysia mengalami kekurangan pelaburan selepas mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit dari 1998 hingga 2005 menyebabkan kerajaan enggan melaksanakannya.

"Benar, nilai ringgit menurun di tengah-tengah pergolakan global dan ketidakpastian sejak 2014, tetapi ada juga aspek positif daripadanya apabila eksport dan pelancongan kita meningkat tinggi.

"Apabila Amerika Syarikat (AS) mengalami kesan akibat kemelesetan besar pada 2008-2009, mereka mula menurunkan kadar faedah yang menyebabkan banyak dana global mengalihkan dana ke negara seperti Malaysia untuk mencari pulangan lebih tinggi.

"Ringgit menerima manfaat daripada ini dan meningkat 30 peratus daripada RM3.73 untuk AS$1 apabila saya pertama kali menjadi Perdana Menteri, kepada paras bawah RM3 pada 2011-2013.

"Walau bagaimanapun, apabila AS mula pulih daripada kemelesetan, mereka mula menaikkan kadar faedah sekali lagi.

"Ini ditambah dengan kejatuhan harga komoditi yang drastik, menyebabkan ringgit menurun ke nilai semasa - satu lagi topik yang digunakan pembangkang untuk mengkritik kerajaan," katanya dalam entri bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing' menerusi blog najibrazak.com, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut musykil dengan dakwaan pembangkang kononnya nilai ringgit yang lemah adalah petanda Malaysia bakal bankrap sedangkan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), mereka mendakwa negara akan muflis walaupun ringgit meningkat 30 peratus berbanding dolar AS.

Walaupun ada yang memberi tanggapan ia lemah, Perdana Menteri berkata, prestasi ringgit sebenarnya jauh lebih baik berbanding mata wang banyak negara pengeksport komoditi besar yang lain.

"Sejajar prestasi ekonomi kita yang terus baik seperti ramalan semua pakar ekonomi, ringgit akan turut mengukuh pada kadar pasaran yang sesuai.

"Anda tidak akan mendengar semua ini daripada pembangkang atau seorang bekas pemimpin negara yang taksub dengan kuasa dan mahu terus memerintah meskipun dalam persaraan, dan menyalahkan saya atas kekalahan anaknya dalam perlumbaan untuk menjadi Naib Presiden UMNO pada 2013.

"Saya enggan mematuhi cara beliau kerana saya yakin Malaysia memerlukan visi baru, jauh dari cara lama yang membawa masalah legasi serius yang kita hadapi sebelum ini serta membawa kesan buruk terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Najib berkata, potensi Malaysia diiktiraf oleh banyak institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang berulang kali memuji pengurusan makroekonomi kerajaan serta pembaharuan struktur.

Malah, katanya, tinjauan Wharton School di Universiti Pennsylvania awal tahun ini mengisytiharkan Malaysia sebagai 'Negara Terbaik untuk Melabur'.

Beliau berkata, semua agensi penarafan kredit utama mengesahkan status Malaysia dalam band 'A' dan OECD merumuskan Malaysia sebagai antara ekonomi Asia Tenggara paling berjaya hasil daripada asas makroekonomi yang mantap dan kejayaan dalam mentransformasikan ekonominya menjadi pelbagai serta inklusif.

"Semua ini adalah hasil perancangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan selepas saya mengambil alih jawatan pada 2009.

"Keputusan sukar yang kita ambil tidak selalunya popular tetapi adalah perlu dan semua keputusan ini telah melindungi Malaysia daripada kesan teruk kemelesetan dan pergolakan yang menimpa ekonomi global.

"Kita telah bertindak sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sentiasa berusaha melindungi rakyat dan menjaga kebajikan serta keselamatan mereka," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan