2.8 Juta Bayi Terima Agihan Saham Amanah

Kuala Lumpur - Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan memberi manfaat kepada 2.8 juta kanak-kanak dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata kos ADAM50 bagi tempoh lima tahun adalah sebanyak RM560 juta.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, bayi yang dilahirkan mulai 1 Januari 2018 hingga 30 Disember 2022, akan menerima 200 unit tabung dana amanah secara percuma.

"Insentif itu yang akan dikreditkan terus ke dalam tabung dana amanah yang diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) selepas proses pendaftaran selesai dibuat oleh penjaga atau ibu bapa.

"PNB sangat berbesar hati diberikan peluang bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mempromosikan budaya menyimpan serta pelaburan dalam kalangan rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi ADAM50, semua bayi yang dilahirkan pada 2018 hingga 2022 akan mempunyai akaun dengan kerajaan dan PNB akan menyediakan unit insentif permulaan.

"Unit insentif sebanyak 200 serta semua dividen berdasarkan jumlah permulaan hanya boleh dikeluarkan sebaik kanak-kanak itu mencecah umur 18 tahun.

"Dalam usaha menggalakkan pelaburan tambahan, penjaga atau ibu bapa kanak-kanak bukan Bumiputera boleh melabur sehingga 50,000 unit," katanya.

ASNB adalah anak syarikat milik penuh PNB dan tabung dana amanah dibuka terus kepada individu seawal umur enam bulan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan