GST Stabilkan Pendapatan Negara

Kuala Lumpur - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dapat menstabilkan pendapatan negara di tengah-tengah hasil minyak yang kekal rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata hasil kutipan GST yang konsisten dapat membantu kerajaan menguruskan negara termasuk menyalurkan semula kepada rakyat menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

"GST bukan sekadar penyelamat kepada negara ketika hasil minyak negara susut, malah memberi banyak manfaat kepada rakyat.

"Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini tidak stabil dan efisien kerana kadar 10 peratus dimanipulasi dan kerajaan tidak dapat manfaat untuk disalurkan semula kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Bajet 2018 di Balai Berita di sini, hari ini.

Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh dan wartawan New Straits Times (NST), Lidiana Rosli bertindak sebagai moderator program itu.

Mengulas mengenai cadangan pembangkang untuk mengembalikan SST jika menjadi kerajaan, Abdul Rahman berkata, ia sebenarnya langkah yang kurang bijak ketika hasil pendapatan minyak Malaysia yang masih rendah.

"Kita lihat pembangkang bercelaru dalam menentukan perkara ini. Pada mulanya, mereka mahu laksanakan GST pada asas kadar sifar sebelum berubah kepada cadangan mengembalikan SST.

"Hakikatnya, pelaksanaan GST mengekalkan kestabilan pendapatan negara, bukan hanya Malaysia malah di lebih 200 negara yang mengamalkan sistem percukaian ini.

"Tidak dinafikan beberapa tahun pertama pelaksanaan GST menimbulkan sedikit 'kekacauan' tetapi selepas dua hingga tahun kembali stabil termasuk kadar inflasi negara," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan