Pelbagai Insentif Galak Lahir eUsahawan

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata, pelbagai insentif disediakan untuk membantu usahawan baharu memajukan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa melalui platform eDagang.

Perdana Menteri menambah, ia termasuk insentif pengecualian cukai sebanyak lima campur lima tahun.

"Ini satu insentif yang sangat baik. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) melalui Program Inovasi dan Pemacuan Global (GAIN) turut menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran kepada syarikat teknologi tempatan yang berpotensi.

"Sebanyak 149 syarikat tempatan berteknologi tinggi sudah mendapat manfaat menerusi program ini," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya apakah insentif disediakan untuk membantu usahawan digital baharu.

Najib turut berkata, usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap potensi yang ada pada ekonomi digital (e-digital) juga sedang dipertingkatkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital.

Katanya, kerajaan juga giat mewujudkan ekosistem digital yang lebih kondusif dengan mewujudkan infrastruktur dan meningkatkan kelajuan jalur lebar bagi memacu bidang e-digital.

"Dalam usaha menggalakkan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meluaskan pasaran ke peringkat antatabangsa, kerajaan mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk menembusi pasaran dunia melalui platform eDagang.

"DFTZ dijangka menggandakan pertumbuhan eksport barangan dan produk PKS sehingga RM160 bilion menjelang tahun 2025," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, e-digital menyumbang sebanyak 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka mencapai sasaran lebih 20 peratus sebelum tahun 2020.

Katanya, MDeC turut melaksanakan program eRezeki dan eUsahawan untuk merakyatkan e-digital, khasnya kepada golongan berpendapatan rendah, penduduk luar bandar, belia dan usahawan kecil.

"Bagi program eUsahawan, seramai 92,926 usahawan muda sudah mengikuti latihan dan kursus berkenaan sejak Januari 2016 sehingga September lalu.

"Sebanyak 27,170 atau 29 peratus peserta melaporkan jualan tambahan sehingga RM112 juta," katanya.

Perdana Menteri berkata, di bawah program eRezeki pula, 101,693 individu sudah dilatih bagi tempoh sama dan 57,572 atau 57 peratus berjaya menjana pendapatan sehingga RM81 juta.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan