ECRL Ubah Sosioekonomi Pantai Timur

Kuala Lumpur - Persepsi kononnya negeri di Pantai Timur sering dianak tirikan kerajaan berikutan kurangnya projek pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan, kini berubah selepas pelbagai transformasi dan projek berimpak tinggi dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terbaru, pelaksanaan projek Rangkaian Rel Pantai Timur atau ECRL bernilai kira-kira RM55 bilion itu akan menjadi satu lagi 'game-changer' untuk negeri Pantai Timur, sekali gus mengubah landskap pembangunan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Laluan sepanjang 600 kilometer merentasi tiga negeri terbabit bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar dilaluinya.

Jika selama ini, masyarakat di Pantai Timur tertumpu kepada sektor pertanian, perladangan dan perikanan yang menyebabkan ramai generasi muda sebelum ini berhijrah mencari pekerjaan ke kota besar khasnya di Kuala Lumpur, kemudahan ECRL yang siap pada 2024 kelak bakal mengubah senario itu.

Ini kerana peratusan penghijrahan dapat dikurangkan, ekonomi di tiga negeri ini akan dapat dipertingkatkan dan pelbagai sektor pekerjaan termasuk pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

Bandar kecil yang akan dibina stesen ECRL seperti Bentong, Mentakab, Gambang, Cherating di Pahang; Chukai, Dungun, Kuala Telemong di Terengganu serta Tok Bali, Wakaf Bharu dan Tumpat di Kelantan akan menjadi tumpuan pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Peniaga kedai makan, penternak ikan patin dalam sangkar, pengusaha songket, kraf tangan, kain tenun dan peniaga keropok lekor yang menjadi sebahagian jenama masyarakat Pantai Timur turut mendapat limpahan ekonomi hasil pembinaan laluan kereta api laju ini.

Ia juga dapat menarik pembukaan lebih banyak pusat komersial dan penempatan baharu berhampiran stesen ECRL.

Syarikat pelabur asing juga pasti mengintai peluang pelaburan di Pantai Timur seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan kawasan perindustrian di ketiga-tiga negeri kerana ECRL menghubungkan pengangkutan kargo dari pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung.

Projek infrastruktur pengangkutan awam darat itu adalah langkah persediaan awal bagi mewujudkan sistem perhubungan dan pengangkutan awam moden, sistematik serta terancang bagi menghadapi perubahan zaman apabila negara mencapai status negara maju.

Ini kerana kerajaan mahu setiap negeri di Malaysia mengalami perubahan fizikal dan ekonomi dengan tidak tertumpu kepada satu kawasan saja.

Transformasi ini secara dasarnya adalah langkah tepat dalam memberikan impak dan peluang kepada semua rakyat bukan saja dari segi ekonomi tetapi juga sosiobudaya.

ECRL yang bakal siap kelak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya akan melalui 23 stesen, di antaranya bermula dari Gombak, Selangor ke Tumpat, Kelantan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan