Kerajaan Tidak Pernah Gagal Bayar Hutang

Kuala Lumpur - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini menegaskan, kerajaan tidak pernah gagal membayar hutang dan faedahnya, walaupun jumlahnya kini semakin menghampiri tahap siling ditetapkan.

Katanya, kemampuan kerajaan itu didorongi faktor ekonomi yang stabil, selain mendapat penarafan tinggi daripada agensi penarafan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, jika ekonomi negara tidak bagus serta mendapat penarafan BBB berbanding A- ketika ini, kadar faedah dan pinjaman akan meningkat, sekali gus menjejaskan kemampuan negara membayar hutang.

"Kemampuan untuk membayar hutang jauh lebih penting berbanding jumlah peratusan hutang negara, berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sebagai perbandingan, lihat ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang mendapat penarafan AAA. KDNK negara itu AS$18 trilion, tetapi hutangnya sebanyak AS$19 trilion.

"KDNK Jepun pula mencatatkan hampir AS$4.9 trilion, tetapi hutangnya hampir 250 peratus daripada KDNK, namun mereka berkemampuan untuk membayarnya," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang mencelah mengenai hutang sektor awam negara dalam Laporan Ekonomi yang mencatatkan jumlah RM901 bilion, ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, hutang negara ketika ini mencecah RM680 bilion, iaitu 50.9 peratus daripada KDNK, manakala siling hutang yang ditetapkan kerajaan ialah 55 peratus.

Katanya, jumlah hutang sektor awam dalam Laporan Ekonomi itu menunjukkan jumlah berbeza kerana ia merangkumi jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dan hutang agensinya, mengikut interpretasi Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

"Contohnya, ia turut merangkumi hutang CIMB Bank, sedangkan kerajaan hanya miliki pegangan sebanyak 30 peratus dalam bank itu, selain hampir 100 peratus hutang bank itu diselaraskan dengan liabilitinya.

"Kita perlu lihat secara berasingan. Dalam penyata kewangan kerajaan ada RM680 bilion.

"Kemudian lihat hutang luar penyata kewangan, iaitu hutang yang dijamin kerajaan yang mencecah RM192 bilion," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan