Infrastruktur China-ASEAN Penting Untuk Ekonomi

Hong Kong - Pelaburan China untuk infrastruktur pembangunan di peringkat serantau penting terhadap Ekonomi Masyarakat ASEAN (AEC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana memperbaiki hubungan infrastruktur adalah komponen penting dalam projek AEC.

"Pemulihan infrastruktur termasuk lebuh raya, lapangan terbang, pelabuhan dan jaringan kereta api juga membantu perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN.

"Inisiatif One Belt, One Road (OBOR) sejak 2013 akan membantu ASEAN merealisasikan Pelan Induk Perhubungan ASEAN terutama dalam bidang pengangkutan seperti jalan raya, landasan kereta api dan laut.

"Penyertaan China dalam pembinaan pelabuhan baharu di negara ASEAN dan projek membina landasan kereta api seterusnya mempercepatkan perhubungan itu," katanya dalam ucaptama ketika majlis makan malam Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) 2017 di sini, malam ini.

Beliau berkata perhubungan digital adalah satu lagi bidang di mana OBOR boleh membantu Perhubungan ASEAN.

Dalam majlis itu, bekas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, CY Leung, menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup China.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun OBOR menjanjikan masa depan yang cerah, ia masih berdepan beberapa cabaran di Asia Tenggara.

"Sesetengah negara walaupun mendapat manfaat daripada OBOR, pada masa sama masih berwaspada kerana berbeza dari segi skala ekonomi dengan China dan negara lain selain perubahan persekitaran dijanjikan inisiatif berkenaan," katanya.

Untuk info, OBOR secara langsung membabitkan 65 negara, sejumlah 4.4 bilion penduduk dan 29 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global bernilai AS$2.1 trilion.

Ahmad Zahid berkata, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB), negara Asia Tenggara memerlukan kira-kira AS$2.76 trilion atau bersamaan lima peratus KDNK mereka untuk pelaburan infrastruktur antara 2016 dan 2030.

Katanya, jaminan diberikan China mengenai hasrat damainya itu akan memberi manfaat besar terhadap kejayaan OBOR serta memerlukan kerjasama di peringkat tinggi, saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

Ahmad Zahid mengakhiri ucapan penutup beliau dengan memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menghargai masyarakat China di Malaysia yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sejak 60 tahun lalu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan