ECRL Bukan Projek Desakan China

Kuala Lumpur - Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) adalah pemangkin keseimbangan ekonomi, bukan projek yang dilakukan secara terburu-buru atas desakan pelobi dari China.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata pembangunan negara sebelum ini menyaksikan ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah Pantai Timur dan Panta Barat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan merangka ECRL untuk merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat di Pantai Timur, malah projek mega berkenaan dijangka menyumbang kepada 1.5 peratus Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK).

"Kita buat projek berskala besar, mencakupi jajaran sejauh 600 kilometer bukan secara membuta-tuli, sebaliknya dirangka selepas membuat pelbagai kajian dan perbincangan dengan Kerajaan Terengganu.

"Projek seperti ini tidak dinafikan mempunyai kesan pengorbanan lain, seperti mengambil alih padang bola, bangunan dan segelintir kawasan kerana direntasi jajaran ECRL, namun ia untuk manfaat sosioekonomi lebih besar.

"Oleh itu, dakwaan bahawa kita terikut-ikut desakan kuasa luar dari China dalam projek pembangunan ECRL adalah tidak benar," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PAN-Kuala Terengganu), di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Raja Kamarul meminta penjelasan kerajaan mengenai projek ECRL yang disifatkan terburu-buru, tanpa melaksanakan sebarang rundingan dengan rakyat tempatan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai peluang pekerjaan susulan pelaksanaan ECRL, Othman berkata, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) ketika ini mempunyai 270 kakitangan untuk mengendalikan fasa perancangan pembinaan ECRL.

Katanya, peluang pekerjaan akan lebih dinamik dengan menawarkan sehingga 10,000 kekosongan dalam sektor pembinaan rel apabila fasa pembangunan dari Pelabuhan Klang-Gombak-Tumpat mula dilaksanakan.

"Sebaik fasa pembinaan selesai, kita menjangkakan operasi ECRL memerlukan kira-kira 3,600 pekerja untuk berkhidmat dalam industri rel Pantai Timur.

"Bekalan tenaga mahir ini dijangka berupaya dipenuhi menerusi usaha kerajaan membangunkan Pusat Latihan Kecemerlangan Rel Negara seperti yang dikemukakan dalam Bajet 2018.

"Kita akan menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk melatih tenaga mahir yang bakal dibekalkan dalam perkhidmatan ECRL," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan