Rasionalisasi Hasil Pendapatan Negara Langkah Tepat

Kuala Lumpur - Kebergantungan terhadap kekayaan hasil galian khususnya minyak tidak menjamin kelestarian kedudukan ekonomi negara tanpa pengurusan kewangan yang kukuh dan mapan.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong, berkata harga minyak yang merudum sejak kebelakangan ini menyaksikan beberapa negara pengeluar hasil galian itu berdepan kekangan kewangan.

"Sebagai contoh, Arab Saudi ketika ini terpaksa menggunakan rizabnya untuk menampung defisit bajet bagi mentadbir negara, sekali gus menyaksikan penyusutan nilai aset luar kepada AS$485.9 bilion setakat Oktober lalu, berbanding AS$737 bilion pada Ogos 2014.

"Langkah terdesak ini terpaksa dilakukan Kerajaan Arab Saudi susulan harga minyak mentah dunia yang semakin menjunam menjangkau kadar 80 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Choong berkata, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar lima peratus menjelang penghujung tahun ini.

Berbanding Malaysia, katanya, GST negara terbabit bakal menyaksikan barangan keperluan seharian seperti makanan, petrol, elektrik, air dan caj telefon mudah alih dikenakan GST.

"Pelaksanaan GST di Arab Saudi dan UAE amat berbeza dengan Malaysia kerana kita memperuntukkan kadar GST sifar terhadap pelbagai barangan keperluan harian bagi meringankan bebanan masyarakat," katanya.

Choong berkata, Brunei yang ekonomi negaranya mempunyai kadar kebergantungan 60 peratus terhadap hasil petroleum dan 95 peratus bagi eksport, tidak terkecuali daripada tempias kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Berikutan itu, katanya, perbelanjaan Kerajaan Brunei menurun kepada BND$5.3 bilion pada 2017, berbanding BND$7.3 bilion (2014), BND$6.3 bilion (2015) dan BND$5.6 bilion (2016).

"Potongan perbelanjaan ini menyaksikan penyusutan peruntukan penjagaan kesihatan, manfaat rakyat, gaji penjawat awam dan elaun, selain pembekuan pengambilan pekerja.

"Justeru, Brunei dan Arab Saudi ketika ini berada dalam kancah kegawatan ekonomi berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.

"Walaupun harga minyak mentah dunia menyusut hingga 80 peratus, kedudukan ekonomi Malaysia yang bergantung terhadap hasil galian berkenaan dan eksport tidak seteruk negara lain.

"Situasi ini berbeza dengan zaman kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan Malaysia hampir lumpuh dan berdepan kegawatan ekonomi apabila industri utama negara seperti pasaran komoditi menghadapi kadar penurunan sehingga 50 peratus pada pertengahan 1980-an," katanya.

Beliau berkata, keutuhan kedudukan ekonomi Malaysia adalah susulan pendekatan tuntas Datuk Seri Najib Razak dalam mengurangkan kadar kebergantungan terhadap hasil petroleum kepada 14 peratus, berbanding 44 peratus daripada pendapatan negara.

Choong berkata, langkah tepat demi menyelamatkan negara daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak mentah dunia itu menyaksikan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memuji Malaysia serta pelbagai dasar kerajaan.

"Harga petroleum pernah turun sehingga 80 peratus pada satu masa, namun Malaysia tidak berdepan kegawatan.

"Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi kita terus mapan sepanjang tempoh sukar dan perkembangan positif ini masih berlaku saban tahun," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan