Banyak Pencapaian Ekonomi, Pelaburan Diraih Sepanjang 2017

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkongsi kisah kejayaan ekonomi dan pelaburan Malaysia sepanjang tahun ini dengan menyifatkan 2017 tahun yang membawa banyak pencapaian.

Perdana Menteri berkata, ekonomi negara melangkaui segala jangkaan tahun ini, dengan Bank Dunia menyemak semula anggarannya untuk pertumbuhan Malaysia bukan sekali atau dua kali, tetapi tiga kali, iaitu pada 5.8 peratus.

Beliau berkata, Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta banyak institusi global yang dihormati, memuji pengurusan ekonomi berhemat oleh kerajaan, selain mengakui bahawa daya tahan dan daya saing ekonomi sudah diperkukuh.

Najib berkata, pada 2017 juga, Malaysia menerima pelaburan berjumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) dari Saudi Aramco untuk melabur di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor serta RM1 bilion lagi dari HSBC bagi membina ibu pejabat serantau baharu di Tun Razak Exchange, di sini.

"Kenapa? seperti yang dinyatakan oleh pengasas Alibaba, Jack Ma, beliau memilih Malaysia untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama di luar China pada tahun 2017 kerana persekitaran cekap dan mesra perniagaan yang diwujudkan kerajaan," katanya.

Malah, kata beliau kejayaan kerajaan melaksanakan projek pengangkutan awam bertaraf dunia, Transit Aliran Massa (MRT) menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan mengendalikan projek berskala besar di masa hadapan, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan membawa begitu banyak manfaat kepada penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, beliau menyedari di sebalik kemajuan dikecapi negara, masih ada rakyat yang masih menghadapi cabaran dan kesusahan.

"Inilah sebabnya dalam bajet baru-baru ini, saya mengumumkan pengurangan cukai, peruntukan untuk petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah, diskaun pembiayaan pengajian buat pelajar, waktu kerja lebih mudah bagi wanita mengandung dalam perkhidmatan awam, dan banyak lagi langkah lain untuk membantu meringankan beban rakyat dan memudahkan penyertaan penuh mereka ke dalam masyarakat.

"Ini kerana saya ingin semua mendapat nikmat dari kemajuan negara yang sedang kita bina, dan supaya tiada seorang pun rakyat Malaysia yang ketinggalan," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan