Hutang Kerajaan Persekutuan Kekal Terurus

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak menegaskan, dakwaan kononnya hutang Kerajaan Persekutuan berada di paras bahaya, adalah tidak benar.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2017.

Katanya, peratusan itu masih di bawah paras had yang ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus daripada KDNK.

"Ini menunjukkan hutang Kerajaan masih kekal terurus, malah ia semakin berkurang kepada 53.2 peratus pada akhir Jun 2016. Ini adalah pencapaian yang patut kita banggakan.

"Bukan itu sahaja, nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK Malaysia adalah lebih baik berbanding negara maju seperti Singapura pada paras 112 peratus, United Kingdom pada 89.3 peratus, Kanada pada paras 92.3 peratus dan banyak lagi contoh lain.

"Justeru, adalah tidak benar jika ada yang menuduh Kerajaan bakal muflis hanya berdasarkan hutang Kerajaan Persekutuan, apabila badan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia menaikkan unjuran KDNK daripada 4.9 peratus kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017," katanya dalam satu kenyataan di blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini.

Najib berkata, adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Malaysia akan muflis sedangkan banyak negara luar mahu melabur dan merangka perjanjian perdagangan dengan Malaysia

"Meskipun menghadapi cabaran fitnah pembangkang yang mengharapkan ekonomi Malaysia ranap semata-mata untuk mendapat kuasa, kerajaan hari ini akan sentiasa mencari jalan mengukuhkan ekonomi bagi menaikkan nama negara setaraf dengan kuasa besar ekonomi dunia yang lain," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan