Tabung Haji Bendung Kenaikan Kos Penginapan

Kuala Lumpur - Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif membendung kenaikan kos penginapan semasa musim haji apabila memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat di Madinah.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, menerusi perjanjian itu, ia bakal memberi kesan positif bukan sahaja kepada jemaah haji malah TH.

Beliau berkata, ini kerana langkah yang diambil sekali gus dapat membendung kenaikan kos penginapan dari terus meningkat saban tahun.

"Sejak penubuhannya lima dekad lalu, Tabung Haji berjaya memenuhi objektif membantu dan menjaga kebajikan para jemaah haji dalam urusan menunaikan rukun Islam ke lima," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TH hari ini melancarkan logo rasmi untuk empat bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peletakan logo rasmi TH di bangunan berkenaan adalah lanjutan dari perjanjian pajakan hotel dengan syarikat Al-Rawda Investment For Real Estate Developmenet & Project Management Ltd (Al-Rawda) untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Ia turut memberi pendedahan jenama TH kepada masyarakat antarabangsa yang mengenali TH sebagai salah sebuah organisasi pengurusan haji terbaik.

Selain itu, logo TH yang dipaparkan di bangunan penginapan jemaah haji akan menjadi pengenalan selain memudahkan jemaah semasa menginap di hotel berkenaan sepanjang musim haji.

Perdana Menteri turut sempat melawat bilik jemaah haji yang akan digunakan pada musim haji 1439H/2018M dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan TH.

Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Urusuan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, Pengerusi Al-Rawda, Dr Mashhoor Ali Al Madodi dan Pengurusan Kanan TH.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan