4 Konsortium Bida Tender MRT Laluan Lingkaran

Kuala Lumpur - Empat konsortium mengemukakan tender turnkey bersama pembiayaan bagi kontrak MRT Laluan Lingkaran selepas penyerahan tender ditutup semalam.

Pengarah Projek Laluan Lingkaran MRT Corp, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata tiga daripada empat penyerahan tender berkenaan daripada konsortium syarikat Malaysia.

Katanya, MRT Corp berpuas hati dengan sambutan yang baik terhadap tender turnkey bagi Laluan Lingkaran, dengan sebahagian besar daripada penender ialah konsortium tempatan yang dapat memenuhi syarat untuk menyertai tender itu.

"Penyertaan tender bermula 15 November tahun lalu ini membuktikan kritikan oleh beberapa pihak tidak tepat sama sekali, terutama yang mengatakan model turnkey akan menutup peluang bagi syarikat tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Empat penender berkenaan ialah Sapura - TIEC Consortium; MMC-Gamuda - George Kent Joint Venture; Pacific - Mudajaya - JEC Consortium dan China Communications Construction Company Limited - China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd JV.

Mengulas lanjut Zohari berkata, penilaian akan dibuat oleh MRT Corp berdasarkan Tender Penilaian Terbaik dengan tiga kriteria penilaian utama iaitu teknikal, status kewangan dan pakej pembiayaan.

Cadangan itu, katanya, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan dan kelulusan manakala kontrak dijangka dianugerahkan dalam suku pertama tahun ini.

"Dengan menggunakan model tender turnkey, MRT Corp mempunyai pilihan terbaik untuk pembiayaan projek ini kerana kami akan cuba mendapatkan kos paling rendah untuk pembiayaan projek ini.

"Bagaimanapun, sekiranya pilihan pakej pembiayaan tidak memuaskan, kami akan kembali ke struktur pembiayaan lama, iaitu melalui DanaInfra," katanya.

MRT Corp membuka tender berasaskan turnkey berbanding melantik sebuah kontraktor atau konsortium secara langsung untuk menggalakkan pilihan pembiayaan yang lebih kompetitif bagi struktur projek baharu.

Dalam memastikan penyertaan syarikat tempatan dalam projek ini, MRT Corp akan menetapkan keperluan untuk penyertaan syarikat Malaysia dan Bumiputera sebagai satu syarat kontrak turnkey. Mekanisme yang ketat akan dirangka untuk memastikan syarat ini dipatuhi oleh penender yang berjaya.

"MRT Corp akan memastikan bahawa agenda Bumiputera akan diteruskan bagi Laluan Lingkaran, seperti yang dilakukan untuk laluan MRT pertama dan kedua, iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP)," katanya.

MRT Laluan Lingkaran dijangka sepanjang 40 kilometer (km) dengan anggaran 32 km akan berada di bawah tanah dengan 26 stesen yang dirancang sepanjang jajaran.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan