Sistem Percukaian Negara Utamakan Kebajikan Rakyat

Putrajaya - Kerajaan tidak bercadang menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) negara yang kini antara terendah di dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kadar GST sebanyak enam peratus sekarang bukanlah untuk membebankan rakyat, malah adalah penyelamat ekonomi negara.

Selain Malaysia, beliau berkata, 160 negara lain di serata dunia termasuk negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Australia turut melaksanakan GST.

"Malah, baru-baru ini Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkenalkan cukai nilai tambah (VAT) untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara mereka.

"Kutipan hasil GST membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat, termasuk pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, perbelanjaan khidmat kesihatan, pendidikan, keselamatan serta banyak lagi.

"Namun, kerajaan mengambil berat terhadap kumpulan berpendapatan rendah dengan mengehadkan kadar GST kepada enam peratus berbanding negara lain, yakni antara tujuh hingga 20 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 di sini, hari ini.

Pada tahun lalu, jumlah GST yang berjaya dipungut lebih RM44 bilion berbanding RM41 bilion pada 2016.

Najib berkata, tema sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36, 'Persekitaran Perniagaan Selamat Untuk Pembangunan Ekonomi', sangat tepat kerana persekitaran selamat dan kondusif akan merancakkan kegiatan perniagaan, seterusnya menyumbang kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi.

"Saya tidak syak dan ragu-ragu bahawa Kastam menunjukkan peningkatan dari segi perkhidmatan dari setahun ke setahun, anggota Kastam tidak akan menyerah diri sama sekali.

"Saya yakin dan percaya dalam apa juga keadaan, walaupun ditekan dan diugut, walaupun kereta dibakar, anggota Kastam tidak mengundur diri.

"Sebaliknya bertambah kuat semangat menjalankan tugas masing-masing dengan komitmen dan iltizam untuk tunaikan amanah serta kewajipan secara cekap, tegas dan berintegriti," katanya.

Perdana Menteri juga berbangga kerana Kastam negara ini berjaya mengurangkan ketirisan hasil dan sentiasa mempertingkatkan jumlah kutipan pada setiap tahun.

Tahun lalu, katanya, hasil lebih RM1 bilion diselamatkan melalui kejayaan mematahkan penyeludupan komoditi seperti kenderaan, rokok dan minuman keras.

Katanya, sumber kewangan stabil itu membolehkan kerajaan melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan perbelanjaan lebih kurang RM6 bilion dan memberi bayaran khas kepada 1.6 juta penjawat awam selain menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dunia dengan hanya RM1.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat menolak kata-kata nista bagi mengapi-apikan rakyat, sebaliknya memahami niat kerajaan yang mahu meletakkan asas kewangan negara pada landasan yang kukuh.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan