Buka Ruang Perbincangan Dekati Rakyat

Kuala Lumpur - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini perkenalkan program Bicara Rakyat bagi mendekati penduduk kawasan perumahan sekitar Kuala Lumpur.

Program julung kali diadakan itu dihadiri hampir 1000 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang berlangsung kira-kira tiga jam di Dewan Komuniti TTDI, di sini, awal malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata program itu memberi ruang kepada rakyat melontarkan aduan, pandangan dan aspirasi secara terus kepada menteri.

"Kita sedar banyak masalah yang dihadapi rakyat. Dengan inisitif ini, ia membantu kita menyelesaikan masalah mereka,

"Malam ini, kita bawa semua pegawai tertinggi kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk rekod aduan rakyat.

"Program ini akan diteruskan di semua kawasan perumahan awam, kondominum mewah dan perumahan teres sekitar Kuala Lumpur." katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program itu yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Kata Adnan, inisiatif itu menepis tohmahan pembangkang yang suka 'membakar' rakyat dengan menabur persepsi buruk.

Program itu turut memberi peluang kepada penduduk TTDI menyuarakan bantahan mereka berhubung projek kontroversi di Taman Rimba Kiara (TRK).

Beberapa ketika, program itu menjadi 'panas' apabila beberapa wakil penduduk meninggikan suara ketika sesi soal jawab.

Adnan berkata, kementeriannya sedia mengadakan perjumpaan khusus untuk membincangan isu TRK bersama wakil penduduk.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan