Hassan Karim Cemburui Kepimpinan Khaled Nordin

Umum mengetahui bahawa projek pembinaan Hospital Pasir Gudang merupakan satu keperluan amat mendesak bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat khsusnya di negeri Johor.

Hal ini kerana permintaan yang begitu tinggi serta kepadatan yang berlaku di 2 hospital utama iaitu Hospital Sultanah Aminah serta Hospital Sultan Ismail. Pembinaan Hospital Pasir Gudang merupakan satu kemestian yang perlu dilaksanakan bagi kerajaan terus menjaga kebajikan kesihatan rakyat.

Khabar gembira tentang pelaksanaan hospital telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan bakal dimulakan kerja-kerja pelaksana pada tahun 2018 disambut penuh rasa syukur oleh seluruh rakyat Johor.

Tetapi yang menghairankan, masih wujud beberapa individu-individu yang dangkal serta penuh hasad dengki yang tidak senang melihat setiap usaha Kerajaan Negeri yang begitu komited mentadbir negeri ini.

Begitulah gambaran terhadap situasi Hassan Abdul Karim, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor (PKR) yang mempertikai pembinaan Hospital Pasir Gudang seperti yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor.

Beliau melalui kenyataan medianya baru-baru ini mempersoalkan bagaimana projek Hospital Pasir Gudang ini boleh dilaksanakan sedangkan Kerajaan Pusat langsung tidak pernah meluluskan projek ini.

Selain itu, beliau juga seolah-olah memandang sinis segala usaha bagi melaksanakan projek ini. Sedangkan pada hakikatnya pembinaan hospital ini bakal memberikan kemudahan kesihatan berkualiti tinggi serta dapat menampung jumlah permintaan kesihatan yang tinggi di negeri Johor.

Apabila kami melihat kenyataan ini di buat oleh pemimpin utama Pakatan Harapan Johor bahkan merupakan nakhoda PKR Johor, ia secara terang dan nyata menonjolkan kebodohan dan betapa ceteknya pengetahuan Hassan Karim terhadap perkembangan yang berlaku di Johor.

Bagaimana Hassan Karim boleh mengatakan bahawa projek Hospital Pasir Gudang ini tidak pernah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan?

Pada fakta dan hakikatnya, projek Hospital Pasir Gudang merupakan 1 daripada 5 hospital baru yang bakal dibina di seluruh negara yang telah dibentang dan diluluskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2016 dengan melibatkan peruntukan tambahan RM4.6 billion.

Melalui pengumuman Bajet 2016 itu juga selain Hospital Pasir Gudang, 4 lagi daerah iaitu Kemaman, Pendang, Maran dan Cyberjaya juga bakal memiliki hospital baru.

Selain itu juga, pembinaan Hospital Pasir Gudang juga termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11 dengan kos sebanyak RM500 juta yang mana ia turut dilengkapkan sembilan kepakaran utama dan berkapasiti 300 katil.

Malah segala perkembangan berkaitan hospital ini juga sentiasa dimaklumkan dan diterangkan dengan penuh terperinci oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Bagaimana Hassan Karim sebagai pemimpin pembangkang tidak mengetahui tentang segala perkembangan ini? Adakah ADUN pembangkang di Johor tidur dan buta dengan segala fakta ini?

Malah baru-baru ini, YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menerangkan secara jelas dan terperinci punca kelewatan hospital ini adalah kerana proses pembinaan hospital tersebut perlu melalui pelbagai peringkat sebelum ia dilaksanakan.

Tambahnya lagi, kerajaan juga perlu mencari tapak yang sesuai bagi pembinaan hospital ini serta perlu menyelesaikan pelbagai proses teknikal serta pelbagai faktor penting.

Ia penting supaya Hospital Pasir Gudang ini dapat dibina mengikut spesifikasi terbaik supaya mampu memberikan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Projek pembinaan Hospital Pasir Gudang ini menggambarkan kerja keras serta usaha Kerajaan Negeri yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Usaha Hassan Karim ini tidak ubah untuk mencari publisiti murahan di kawasan Pasir Gudang.

Ia tindakan terdesak bagi mendapatkan perhatian rakyat terutama dalam usaha beliau bertanding di Parlimen Pasir Gudang untuk PRU14 selepas tewas di Parlimen Ledang pada PRU13 yang lalu.

Oleh - Fikri Allaudin
Persatuan Pemikir Muda Johor.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan