Pembangkang Ingkar Titah Sultan Johor

Beberapa hari yang lepas, DYMM Sultan Johor, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah menyuarakan kebimbangan mendalam baginda terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada hari ini.

Kebimbangan baginda terhadap krisis orang Melayu tersebut telah dikeluarkan oleh pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga Diraja Johor, Royal Press Office (RPO) sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-59.

Selepas kegusaran tentang krisis orang Melayu disuarakan sendiri oleh Sultan Johor, nampaknya kebimbangan tersebut tidak sama sekali diambil berat oleh segelintir pihak.

Ketika pelbagai pihak sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politik dan sebagainya bagi menyahut seruan Sultan Johor yang mahukan pemimpin Melayu duduk semeja, bermuafakat dan berbincang masalah serta kepentingan orang Melayu. Wujud pihak yang tidak senang melihat usaha tersebut.

Malah selepas melihat titah tersebut, makin hebat gerakan bagi memecah- belahkan perpaduan rakyat di negeri Johor.

Buktinya bagaimana Parti KEADILAN Rakyat (PKR) bersama komponen Pakatan Harapan Johor membuat Jelajah KEADILAN di Tebrau pada 2 hari yang lepas.

Paling mengejutkan kehadiran Azmin Ali ke Johor sebagai penceramah utama jelajah tersebut. Kehadiran beliau ke Johor juga ketika YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin baru sahaja selesai membentangkan Bajet Johor 2018 pada hari Khamis yang lalu.

Rakyat Johor melihat kandungan bajet kali ini begitu menyeluruh dan inklusif serta mencakupi keseluruhan lapisan masyarakat.

Malah, bajet tersebut juga memberi gambaran yang jelas bagaimana negeri ini telah ditadbir dengan begitu baik sekali hasil kejayaan dan pembentangan terus kepada rakyat melalui penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang lalu.

Kehadiran Azmin Ali dan ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan Johor tersebut merupakan satu tindakan terdesak dan cuba mensabotaj usaha Kerajaan Negeri.

Kami hendak tanya kepada Azmin Ali, ada Menteri Besar Johor turun ke Selangor memburuk-burukkan Menteri Besar Selangor di negeri Selangor sendiri?

Secara peribadi, tindakan Azmin yang menabur fitnah serta menyebarkan kebencian adalah kerana beliau begitu mencemburui sosok kepimpinan Khaled Nordin yang berjaya memacu dan mentadbir negeri ini dengan begitu baik.

Malah beliau juga tidak senang melihat kejayaan Bajet Johor 2018 yang bakal dinikmati oleh rakyat Johor.

Nasihat kami, daripada menabur fitnah adalah lebih baik Azmin Ali menghadap Sultan Johor dan memohon ampun bagi pihak Tun Mahathir.

Ia susulan tindakan Tun Mahathir yang telah mengguriskan hati Sultan Johor di atas berkaitan isu Bugis.

Mengguriskan hati Sultan Johor sama dengan telah mengguriskan hati seluruh rakyat Johor.

Kepada pelbagai pihak yang ingkar terhadap titah dan seruan tersebut, yakin dan percayalah, bahawa segala usaha dalam memecah-belahkan dan menggagalkan segala pembangunan tidak akan berjaya sama sekali di Johor.

Oleh - Fikri Allaudin
Persatuan Pemikir Muda Johor

Post Metro Online

Artikel Berkaitan