SPAD - Penepatan Semula Hentian Akhir Bas Dalam Bandar

Salah satu peranan yang perlu dimainkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ialah mengemas kini dan menyusun perjalanan dan menguatkuasa penempatan hentian bagi perkhidmatan bas dan teksi di sekitar ibu kota, ianya bertujuan bagi memastikan aliran trafik di sesuatu kawasan itu berjalan dengan lebih lancar.

Untuk penempatan terbaharu Hentian Akhir Bandar (HAB) Medan Pasar akan dijadikan sebagai hentian bas sahaja dan bukan lagi sebagai tempat Hentian Terakhir yang membolehkan bas untuk meletak atau menunggu penumpang disitu.

Maklumat dari pihak SPAD memaklumkan bahawa Hentian Akhir Bandar (HAB) Medan Pasar akan dikategorikan semula sebagai sebuah hentian bas berkuat kuasa 23 Disember 2017 (semalam).

Keputusan ini dibuat kerana kawasan tersebut mengalami kesesakan yang sangat ketara terutama pada waktu puncak, ianya adalah akibat dari bas-bas yang meletakkan kenderaan mereka dan menunggu penumpang yang ada kalanya mengambil masa yang agak panjang.

Perubahan yang dilakukan oleh SPAD ini adalah bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Medan Pasar (berdekatan HSBC), yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang sangat serius, dengan perubahan ini, pemandu bas tidak dibenarkan lagi untuk menunggu atau meletakkan bas mereka di lokasi tersebut

Peralihan ini akan melibatkan 50 bas yang dikendalikan oleh syarikat Selangor Omnibus Co Bhd dan Setara Jaya Sdn Bhd.

Perkhidmatan yang terbabit bagi Selangor Omnibus adalah bagi laluan 100, 103, 104, 107, 120, 121 & 122, manakala bagi Setara Jaya adalah laluan 151 & 152. Bas -bas tersebut akan menamatkan perjalanan di HAB Lebuh Pudu di hadapan Emporium Mydin Sinar Kota, yang terletak 350 meter daripada HAB Medan Pasar.

Bagi mempermudahkan penumpang, kakitangan daripada Selangor Omnibus, Setara Jaya, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan ditugaskan di hentian Medan Pasar bagi memantau proses peralihan.

Sementara maklumat penumpang telah turut dipamerkan di dalam bas-bas terlibat serta di hentian Medan Pasar dan Lebuh Pudu sejak minggu lepas.

Dengan perpindahan ini, akan terdapat tiga HAB utama di dalam Pusat Bandar Kuala Lumpur, iaitu:- HAB Munshi Abdullah bagi koridor Ampang, HAB Pasar Seni bagi koridor Lebuhraya Persekutuan & Jalan Klang Lama, dan HAB Lebuh Pudu, yang mana akan merangkumi bas- bas yang menjalankan perkhidmatan bagi koridor laluan Cheras, Sungai Besi, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang. HAB Lebuh Pudu juga digunakan oleh bas-bas Nadi Putra, Seri Indah dan RapidKL.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, para pengguna boleh menghubungi hotline SPAD di 1-800-88-7723 (SPAD) atau melalui facebook.com/SPAD.my atau Twitter di @SPADchannel atau melalui laman sesawang SPAD www.spad.gov.my. Selain daripada itu, pengguna boleh menghubungi Selangor Omnibus di talian 03-6258 1579 atau Setara Jaya di talian 03- 4021 7692.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan